KUALA LUMPUR – Industri hip hop tempatan kembali bergema dengan pelancaran single terbaharu berjudul Kemana Ni, hasil kolaborasi tiga nama besar dalam industri muzik Malaysia iaitu Luca Sickta, Kmy Kmo, dan Salammusik. Lagu yang diedarkan secara rasmi oleh Sony Music Malaysia ini bukan sekadar gabungan unik antara hip hop dan reggae, tetapi turut menyampaikan mesej mendalam mengenai hala tuju kehidupan di tengah cabaran dunia moden.
Perjalanan & Persahabatan di Sebalik ‘Kemana Ni‘
Kemana Ni bukan sekadar sebuah lagu, tetapi lahir daripada perjalanan panjang yang bermula sejak 2018. Selepas kejayaan Gong Nekara pada tahun yang sama, Kmy Kmo mendapat ilham untuk mencipta sebuah karya yang menggambarkan perjalanan kehidupan manusia dalam mencari arah dan makna.

Menurut Luca Sickta, projek ini sudah lama dirancang dan akhirnya berjaya direalisasikan selepas melalui pelbagai fasa penciptaan. “Salammusik merupakan artis pertama yang kami dekati untuk projek ini, dan dia menerima idea ini dengan tangan terbuka. Dia menanti dengan sabar sejak 2018, dan kini lagu ini akhirnya dapat dikongsi dengan dunia,” katanya.
Salammusik turut berkongsi pengalaman unik dalam penghasilan lagu ini. “Saya dihubungi oleh Luca ketika masih berada di Amsterdam. Dia berkongsi lakaran awal lagu ini, dan saya terus tertarik. Walaupun kebanyakan rakaman dan penulisan dilakukan secara jarak jauh, semangat dan tenaga lagu ini tetap terasa kuat,” ujarnya.
Persoalan Realiti Hidup dalam Lirik & Melodi
Di sebalik alunan muziknya yang rancak, Kemana Ni membawa persoalan mendalam mengenai hala tuju kehidupan. Bagi Kmy Kmo, lagu ini menangkap perasaan seseorang yang baru melangkah ke alam kedewasaan dan perlu membuat keputusan besar dalam hidup. “Hidup sebenar bermula apabila kita keluar dari zon selesa. Saat itu kita benar-benar diuji untuk mencari arah dan membina kehidupan sendiri,” jelasnya.

Salammusik pula melihat lagu ini sebagai peringatan bahawa kegagalan bukan pengakhiran, tetapi sebahagian daripada proses menuju kejayaan. “Keberanian perlu disertai dengan ilmu dan persiapan yang rapi. Kita perlu berani jatuh dan bangkit semula,” tambahnya.
Menariknya, frasa kemana ni yang menjadi tajuk lagu ini juga sangat dekat dengan masyarakat Malaysia, sama ada dalam makna literal mahupun sebagai refleksi terhadap perjalanan kehidupan.
Gabungan Hip Hop & Reggae yang Segar
Dari sudut muzik, Kemana Ni membawa dimensi baharu kepada industri tempatan dengan menggabungkan dua genre yang mempunyai jiwa tersendiri, hip hop dan reggae.
Sebagai produser dan komposer, Luca Sickta memastikan setiap elemen lagu ini disusun dengan teliti. “Saya dan Kmy sudah bekerja bersama dalam banyak projek, jadi momentum kami sangat serasi. Manakala kehadiran Salammusik memberikan warna yang berbeza dengan keunikan gaya reggaenya,” katanya.

Bagi Kmy Kmo, bekerjasama dengan Salammusik adalah impian yang akhirnya menjadi kenyataan. “Salammusik adalah antara artis yang saya jadikan rujukan dalam irama reggae dan dancehall. Saya selalu membayangkan untuk berkolaborasi dengannya, dan akhirnya impian itu menjadi realiti.”
Harapan & Inspirasi di Sebalik ‘Kemana Ni‘
Setiap karya muzik yang hebat lahir dengan harapan untuk menyentuh hati pendengar. Itulah yang diimpikan oleh Luca Sickta, Kmy Kmo, dan Salammusik untuk Kemana Ni.
Menurut Kmy Kmo, lagu ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada mereka yang mencari hala tuju dalam hidup. “Kami mahu lagu ini menjadi pembakar semangat, terutamanya pada waktu pagi sebelum memulakan hari serta sesuatu yang memberikan motivasi kepada pendengar.”

Bagi Salammusik, lagu ini harus dirasai sebagai satu kehadiran yang memberikan kekuatan. “Mudah-mudahan lagu ini dapat menjadi teman kepada sesiapa sahaja yang memerlukan dorongan untuk terus maju ke hadapan.”
Pelancaran di Semua Platform Digital
Kemana Ni kini boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Joox, Apple Music dan YouTube Music. Lagu ini juga boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan.