December 6, 2023

KUALA LUMPUR : Luncai Emas Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia K-KOMM telah melancarkan sebuah album mengandungi 10 lagu terbaharu bernuansa irama joget yang dinyanyikan oleh penyanyi baharu dan artis muda tanahair.

Joget Made In Malaysia adalah sebuah projek album yang diterbitkan Luncai Emas melalui Dana Kandungan Digital Muzik dari K-KOMM ini cuba mengangkat irama joget ke dalam karya-karya terbaharu generasi muda. Album ini menggabungkan kepakaran penggiat seni professional, pensyarah dan pelajar muzik dan seni dari empat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bersama artis baharu pelapis masa hadapan dan akan dipasarkan ke seluruh negara melalui pengedaran digital bermula pertengahan November ini.

Objektif penerbitan album ini untuk memperbanyakkan lagi lagu-lagu baru dengan memasukkan elemen tradisi joget melayu kepada versi baru yang lebih kontemporari, inovatif, dinamik dan menjadi sebahagian proses rejuvenasi muzik Malaysia.

“Menjadi cita-cita saya agar irama tradisi Malaysia menjadi sebagai ‘Force’ dalam penciptaan muzik moden Malaysia. Maka dengan melihat kerancakan populariti muzik ‘dance’ dan ‘world beat’ saya terpanggil untuk menjadikan rentak tradisi Malaysia sebagai taruhan kerana elemen ‘dance’ yang ada pada semua rentak tradisi ini. Joget dipilih untuk taruhan pertama,” kata Dato’ M.Nasir.

Di atas justifikasi inilah, Luncai Emas komited untuk terus memperkasakan lagu-lagu baharu dengan suntikan elemen tradisi kita agar identiti muzik kita dapat dibezakan dengan muzik luar.

M. Nasir

Secara langsungnya, album ini menggabungkan kerjasama kreatif di antara generasi muda dan penggiat muzik berpengalaman agar dapat mencorakkan hasil yang unik, bernafas baharu dan lebih komersil untuk diminati terutamanya generasi muda.

Dengan elemen baharu yang lebih ‘energetic’ dalam penghasilan lagu dan susunan muziknya mengikut trend anak muda masakini yang akan seiring dengan peralatan muzik tradisi seperti rebana, akordian, seruling dan lain-lain.

Sebagai sebuah syarikat rakaman dan pentadbir hakcipta lagu dan lirik yang berpengalaman, kami berharap kehadiran album Joget Made In Malaysia ini mampu menjentik rasa generasi muda agar meminati irama joget ini nanti. Semoga lagu-lagu baharu generasi anak muda akan datang dapat mengekalkan identiti dan jati diri muzik tradisi kita dalam setiap karya terbaharu mereka nanti.

Menurut Penerbit Eksekutif album ini, Keon Omar, tempoh masa menyiapkan projek album ini adalah lima bulan. Manakala promosi lagu-lagu ini akan berjalan berterusan selama setahun. Album ini mendapat khidmat Dato’ Dr M.Nasir sendiri selaku Penasihat Kreatif yang memantau setiap lagu yang dicipta anak muda dari sudut kreatif dan komersilnya. Manakala YM Prof Madya Dr Raja Iskandar Bin Raja Halid, dari Fakulti Teknologi Kreatif Dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan, UMK sebagai penasihat seni warisan pula memantau irama joget yang dipamerkan dalam setiap lagu-lagu tersebut.

Empat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) turut terlibat dan menyumbang satu lagu setiap satu. IPTA yang terbabit adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI (Fakulti Muzik Dan Seni Persembahan), Universiti Teknologi Mara, UiTM (Konservatori Muzik. Kolej Pengajian Seni Kreatif), Universiti Malaysia Kelantan, UMK (Fakulti Teknologi Kreatif Dan Warisan) dan Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan, ASWARA (Fakulti Muzik Aswara).

Manakala enam lagu lagi dinyanyikan oleh penyanyi muda muka baharu yang berpotensi besar seperti penyanyi muda berketurunan tionghua Sabah iaitu Jacyln Chia, Didie Shazry (UPSI), Jannati Alaudin (UMK), penyanyi muda Sarawak iaitu Lydbie, Puteri Khareeza, Azizul Hakim dan Zarina Nordin (Aswara).

Kmy Kmo dan Luca Sickta

Dua rappers popular iaitu Kmy Kmo dan Luca Sickta menyanyikan lagu baharu ciptaan mereka manakala dua band indie terdiri dari Ramayan dan Iqbal M turut menyumbang satu lagu baharu ciptaan mereka.

Setiap single di dalam album ini akan dipasarkan secara digital di setiap laman strim seperti Spotify, Apple Music dan juga Youtube. Rilisan setiap single ini akan dibuat berperingkat.

Majlis pelancaran dan perasmian album ini telah diadakan di World Trade Centre, Kuala Lumpur pada 27 Oktober yang lalu dan disempurnakan oleh Dato’ Sri Haji Mohammad Mentek, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia.

Majlis pelancaran dan perasmian album Joget Made In Malaysia