KUALA LUMPUR – Legenda muzik tanah air, Dato’ M. Nasir, kembali mencuri perhatian dengan usahanya menghidupkan semula lagu klasik awal 1900-an, Nuri Terbang Malam. Lagu yang dipercayai menjadi rekod pertama lagu Melayu pada piring hitam sekitar tahun 1903 ini pada asalnya diterbitkan oleh syarikat rakaman antarabangsa dari United Kingdom, Gramophone Company.
Lagu tersebut asalnya dinyanyikan oleh Qasim, seorang penyanyi Wayang Semarang dari Pulau Pinang, dan dirakam di Singapura. Dengan elemen muzik tradisional India dan Timur Tengah, lagu ini melambangkan kepelbagaian budaya di rantau ini pada era tersebut. Liriknya berkisarkan tentang cinta yang kekal abadi, diibaratkan seperti burung nuri yang mencari dalam kegelapan malam.
Kini, menerusi projek terbaharu oleh Luncai Emas, Nuri Terbang Malam diberi nafas baharu dengan rakaman semula oleh Dato’ M. Nasir.
“Sebagai seorang penggiat seni, saya ingin membawa karya ini ke generasi baharu tanpa melupakan asal usulnya. Lagu ini adalah sebahagian daripada sejarah muzik kita, dan tugas kita adalah untuk mengabadikannya,” ujar Dato’ M. Nasir.
Dengan vokal penuh emosi dan kreativiti tersendiri, Dato’ M. Nasir bukan sahaja menghidupkan kembali karya bersejarah ini tetapi turut menghubungkan pendengar moden dengan warisan muzik Melayu yang kaya.
Projek “100 Lagu 100 Tahun”
Usaha ini merupakan sebahagian daripada projek besar 100 Lagu 100 Tahun, kolaborasi antara Luncai Emas Sdn Bhd dan World Business Affairs Sdn Bhd (WBA). Projek ini adalah cetusan idea Profesor Dato’ Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak bersama produser dan komposer terkenal, Dr Mohd Azhar Abu Bakar (Azmeer).
Projek ini bertujuan mengumpulkan 100 lagu Melayu popular sejak abad ke-20 dalam bentuk audio dan buku yang memuatkan latar belakang serta sejarah setiap lagu. Buku tersebut akan diterbitkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) Press manakala penerbitan audio dilakukan oleh Azmeer bersama Luncai Emas, dijangka tersedia sepanjang tahun 2025.
Penghormatan kepada Allahyarham Hanafi Hamdan (Nafie Spider)
Lagu Nuri Terbang Malam turut menjadi karya terakhir Allahyarham Hanafi Hamdan atau lebih dikenali sebagai Nafie Spider, yang bertindak sebagai produser. Allahyarham memberikan sentuhan baharu pada struktur lagu dengan memperkenalkan rentak lebih rancak tanpa mengetepikan elemen tradisional. Beliau juga menambah progresi kord untuk menghasilkan pengalaman mendengar yang lebih moden.
“Ini adalah dedikasi buat arwah yang telah menyiapkan lagu ini sebelum pemergiannya pada 22 November 2024 akibat strok,” kata wakil Luncai Emas.
Muzik Video Berkonsepkan Teater Bangsawan
Bagi memperkenalkan lagu ini kepada khalayak, sebuah muzik video arahan Sha Bromo telah dihasilkan. Video tersebut membawa konsep teater bangsawan era 1950-an, lengkap dengan persembahan Dato’ M. Nasir sebagai pencerita. Penggambaran dilakukan dengan kerjasama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), melibatkan pelajar-pelajar akademi tersebut.
Pelancaran Digital
Lagu Nuri Terbang Malam boleh didengari di semua platform digital seperti YouTube, Spotify, dan Apple Music bermula 3 Januari lalu. Projek ini bukan sekadar penghormatan kepada sejarah muzik Melayu, tetapi juga bukti keupayaan seni Dato’ M. Nasir dalam menghidupkan semula karya agung yang hampir dilupakan.