KUALA LUMPUR – Acara perhimpunan peminat Vespa terbesar di ibu kota, Mad’s Karnival – Vesparudin, bakal kembali untuk kali kedua pada 1 Februari 2025 di Busana Mall, Menara MARA. Program yang diadakan sempena Hari Wilayah ini dianjurkan oleh Chenta Relektro dan Mad’s Global, dengan kerjasama Vespa Club Malaysia (VCM) dan Persatuan Vespa Wilayah Persekutuan (PVWP).
Pengurus acara, Kombatt, menjelaskan bahawa Vesparudin bukan sekadar perhimpunan biasa tetapi juga platform meet & greet bagi komuniti pemilik dan peminat Vespa dari seluruh negara. Beliau menjangkakan lebih 2,000 motosikal Vespa akan membanjiri kawasan Busana Mall, menjadikan acara ini antara yang terbesar dalam kalangan penggemar skuter klasik di Malaysia.

Pelbagai aktiviti menarik telah dirancang bagi memeriahkan acara ini, termasuk pertandingan Show & Shine bagi Vespa tercantik, perlumbaan paling lambat yang menguji keseimbangan penunggang, serta cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik. Selain itu, pengunjung juga berpeluang mendapatkan barangan vintaj menerusi jualan preloved vintage oleh Greatfull Thrift & Collectable dari Campbell Complex.

Lebih istimewa, acara ini turut dimeriahkan dengan persembahan muzik daripada barisan artis dan kumpulan muzik terkenal seperti The Suspect AKA, Achmed X, DJ Sir Bedoo, Johny 23 dan Cryo Inferno. Persembahan ini dijangka berlangsung sehingga jam 11 malam, menjanjikan hiburan tanpa henti untuk semua pengunjung.

Mad’s Karnival – Vesparudin 2025 menjanjikan pengalaman unik buat komuniti Vespa serta pengunjung yang hadir. Semua peminat Vespa dan pencinta muzik dijemput untuk menyertai acara ini pada 1 Februari 2025 di Busana Mall, Menara MARA.
One thought on “Mad’s Karnival – Vesparudin kembali meriah sempena Hari Wilayah”
Comments are closed.