KUALA LUMPUR – kumpulan Xpose Band yang dianggotai oleh, Ahmad Khairul Furhan Zahari (vokalis), Mohd Rafiuddin Mohd Yunos (bass) dan Muhammad Mustaqim Mustapha Kamal (dram), tidak kisah sekiranya ada peminat yang mengecam video muzik single terbaharu mereka, Separuh Jiwa. Setelah berada lebih 7 tahun dalam industri muzik, kumpulan Xpose Band mahu menghasilkan karya-karya bermutu seterusnya diingati sampai bila-bila.
Menurut Furhan, selaku vokalis dan penulis lirik, “Saya yang menulis lirik lagu Separuh Jiwa ini. Seperti lagu-lagu Xpose yang lain, setiap lagu mesti mempunyai maksud yang tersirat. Saya tidak mahu lagu-lagu Xpose sekadar lagu. Penting bagi saya untuk menekankan maksud dari bait-bait lirik sebagai panduan atau teladan untuk semua orang termasuk diri saya sendiri”.
Oleh kerana maksud lirik lagu tersebut mempunyai banyak erti dan perspektif, Xpose ingin membuat kelainan di dalam muzik video Separuh Jiwa. Idea asal muzik video ini daripada mereka sendiri yang terdiri daripada Eppy, Taqgim dan Furhan. Mereka berpendapat bahawa muzik video Separuh Jiwa ini harus diperjelaskan dengan lebih terperinci kerana mempunyai maksud yang boleh dijadikan pengajaran dan teladan.
Furhan ketika ditemui di tayangan media video muzik tersebut yang di adakan di Loudspeaker, Datum Jelatek pada 26 September lalu berkata, mereka memaparkan situasi sebenar yang berlaku dalam kalangan masyarakat.
“Kami paparkan kisah kehidupan seorang penagih dadah yang dilakonkan Eppy, kisah penunggang agama yang membawa ajaran sesat lakonan saya dan kisah seorang individu pedofilia lakonan Taqim.
“Semuanya sinonim dengan kisah yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Tak kiralah, sama ada ia berlaku kepada orang lain atau diri kita sendiri, kami juga mengambil pendekatan tidak mahu ambil peduli jika ada netizen yang kecam setelah mereka menonton video muzik tersebut”, ujarnya
Dari lagu dan lirik, kemudian digarap menjadi sebuah muzik video. Secara dasarnya, ianya menceritakan mengenai senario yang berlaku dikalangan kehidupan kita sekarang. Jika dilihat dari mula sehingga habis, kita akan dapat melihat kesan dan akibat yang boleh berlaku sekiranya kita mempunyai semangat ‘Separuh Jiwa’.
Dari sisi positif yang lain, kita harus mengingatkan diri sendiri bahawa dikalangan kita ramai orang yang menyayangi kita dan tidak sepatutnya perkara sebegitu diserap dalam kehidupan sehingga boleh menyebabkan kehilangan orang yang tersayang. Ingin ditegaskan, segala yang dipertontonkan adalah lakonan semata-mata dan tiada kena mengena dengan sesiapa sahaja.
Kenyataan Furhan turut di sokong oleh 2 lagi anggota Xpose Band iaitu Eppy dan Taqim, malah jika ada netizen yang membuat spekulasi mahupun persepsi negatif mereka akan menerimanya dengan hati yang terbuka.
“Pengajaran yang ingin kami sampaikan menerusi lagu Separuh Jiwa dan video muzik ini adalah jangan ikut benda-benda yang salah. Kalau penonton memberi persepsi berbeza, kami serahkan kepada mereka sendiri kerana kami sudah sajikan satu mesej yang jelas,” tambahnya.
“Saya dan Taqim bakal menimang anak. Jadi, kami tak mahu generasi masa hadapan, diduga dengan kesesatan sebegini. Inilah satu cara dan medium untuk kami sampaikan nasihat kepada mereka yang menonton,” katanya.
Untuk rekod, single pertama nyanyian Xpose berjudul Sandiwara pernah mencetuskan fenomena pada 2017, sehingga merekodkan 23 juta jumlah tontonan di YouTube sehingga sekarang.
Kumpulan yang memperjuangkan genre rock ini asalnya dianggotai lima ahli dan kini kembali bertiga. Lebih menarik, ketiga-tiga mereka mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang kejuruteraan dan Furhan kini bekerja sebagai jurutera.
Xpose yang bernaung di bawah syarikat rakaman Suria Records juga sudah mempunyai 10 single seperti Seru, Deru, Maafkan Ku, Sebelum Nafas Terhenti, Jejak dan Menanti Pasti.
Separuh Jiwa boleh dimuat-turun di iTunes dan stream menerusi portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, dan Spotify. Dengarkan juga lagu Separuh Jiwa nyanyian Xpose di semua saluran radio tempatan pilihan anda.
Foto kredit: Papa Din