February 11, 2025

‘Full house’ itulah ungkapan ketika melangkah masuk ke ruang konsert Zepp Kuala Lumpur, bagi menyaksikan konsert ST12 pada 10 November lalu. Dibawakan secara eksklusif oleh My Legacy Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Laskhar Entertainment telah dihadiri hampir 3,000 peminat untuk menikmati Malam Galau dan ST12 Live Concert In Kuala Lumpur.

ST12 dianggotai oleh pemain dram, Pepep atau nama sebenarnya, Ilham Febry dan Indra Gunawan atau Indra (bass) cukup istimewa apabila mereka berpeluang untuk kembali beraksi di Kuala Lumpur.

Menariknya, konsert ini merupakan manifestasi kerjasama penggiat seni serumpun apabila menyatukan pengkarya muzik dua negara menerusi kolaborasi bersama Malam Galau.

ST12 juga menampilkan Aris Idol dan Firman Siagian pada posisi vokalis, malah turut membawakan penyanyi popular Malaysia, Hazama untuk turut sama-sama beraksi.

Dengan persembahan yang penuh energetik, ST12 menyajikan rangkaian seleksi lagu-lagu hit mereka seperti Puspa, Jangan Pernah Berubah, Putri Iklan, Putih-putih Melati dan banyak lagi. Mereka juga mendendang sebuah lagu khas untuk rakyat Palestine yang sedang ditindas menerusi lagu KebesaranMu disamping tayangan visual peperangan di skrin LED.

Pelantun lagu Kehilangan mendapat sorakan gemuruh setiba gilirannya menjajahi pentas. Selain lagu Kehilangan yang pernah meledak di Malaysia suatu masa dahulu, Firman juga membuai penonton dengan lagu-lagu seperti Cari Pacar Lagi, Aku Terjatuh, Saat Terakhir dan Kepingan Hati. Lebih menarik lagi, Firman dan Hazama berpadu suara menerusi lagu Tiara nyanyian asal kumpulan Kris. Hazama pula mempersembahkan single lagu baharunya bersama ST12 yang berjudul Harapan Tak Kunjung Usai.

Menurut Hazama, kolaborasi ini adalah salah satu cara untuk dia dan ST12 terus mengeratkan lagi hubungan dua negara dalam meningkatkan usaha menghasilkan karya-karya yang bermutu. Penampilannya dalam konsert ini juga sebagai salah satu langkah mempromosi single terbaharu beliau bersama ST12.

“Sebenarnya untuk lagu Harapan Tak Kunjung Usai ini memang kita dah rekod beberapa bulan sebelum ini dan memang kita dah rancang untuk buat satu persembahan yang julung-julung kalinya di Zepp KL ini.” Ujar Hazama di sidang media yang telah diadakan sebelum bemulanya konsert.

Hazama juga menjelaskan bahawa lamaran untuk single bersama ST12 ini datang dari Luncai Emas dan Dua Suara Media daripada Indonesia. Beliau mengambil cabaran tersebut untuk berkolaborasi walaupun ST12 adalah satu jenama yang besar dan sangat dikenali.

Bagi pemain dram ST12, Pepep menghargai segala komen positif yang diterima daripada peminat yang meminati lagu tersebut. Beliau menganggap ini adalah satu permulaan yang baik dan tidak dinafikan juga kemungkinan ST12 akan membuat kolaborasi dengan penyanyi dari negara-negara di Rantau Asia.

“Alhamdulillah, kita mendapat komen yang positif. Memang banyak yang positif untuk membuktikan bahawa dua negara ini tidak dapat dipisahkan. Makanya ini adalah awalan yang baik kepada ST12 untuk maju ke depan. Mungkin kita akan juga berkolaborasi dengan penyanyi dari negara lain dan itu memang tujuan kita. Kita akan berkolaborasi dengan penyanyi dari Filipina, Thailand dan ini adalah sebagai langkah permulaan untuk berkolaborasi dengan negara-negara lainnya.” Jelas Pepep.

Sebelum itu, acara dimeriahkan dengan konsert Malam Galau yang menampilkan artis-artis tempatan seperti Syafiq Abdillah, Aufahanie, Kazim Band dan Drama Band.