January 15, 2025

KUALA LUMPUR – Panggung Eksperimen ASWARA bakal menyaksikan satu eksperimen seni yang luar biasa pada 8 Februari 2025, menerusi acara “Malam Laguan Puisi: Bunyian Irama dan Prosa”. Acara ini dijangka memukau audiens dengan gabungan unik puisi dan muzik dalam persembahan yang menjanjikan pengalaman seni mendalam dan bermakna.

Leaisme dan Aqasha

Barisan Artis Tersohor dan Karya Sasterawan Negara

Acara ini akan menampilkan penyanyi terkenal seperti Aqasha, Azizul Hakim, Ayu Damit, dan Leaisme, yang bakal melagukan 10 puisi agung karya tokoh sasterawan negara. Antara nama besar yang puisinya akan diangkat termasuk Datuk Seri A. Samad Said, Dato’ Usman Awang, Datuk Dr. Zurinah Hassan, Dato’ Baha Zain, Dato’ Rahman Shaari, dan Prof. Emeritus Muhamad Hj. Salleh.

Menurut Aqasha, cabaran melagukan puisi-puisi ini adalah satu tanggungjawab besar dalam memperkenalkan semula keindahan seni sastera kepada generasi muda.

Aqasha

“Sebagai anak seni, saya percaya kita perlu mengenali sejarah seni dan tokoh-tokoh terdahulu. Melalui puisi, kita tidak hanya menghayati bahasa tetapi juga memahami pemikiran dan jiwa masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Leaisme, penyanyi indie yang terkenal dengan karya eksperimentalnya, menganggap peluang ini sebagai penghormatan besar.

Leaisme

“Melagukan puisi memberi ruang untuk kita menyampaikan seni dengan cara yang lebih mendalam dan membuka peluang kepada generasi muda untuk menghargai puisi bukan hanya sebagai teks, tetapi sebagai pengalaman jiwa,” jelasnya.

Lagu-lagu Ikonik dan Komposisi Baharu

Pengarah projek, Sham Cairel, menyatakan bahawa tiga daripada lagu yang bakal dipersembahkan merupakan karya ikonik seperti Jentayu (puisi Dato’ Usman Awang), Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang (puisi Datuk Dr. Zurinah Hassan), dan Tetamu Senja (puisi Datuk Seri A. Samad Said). Selebihnya tujuh lagu adalah komposisi baharu yang akan diperdengarkan buat pertama kali.

Sham Cairel

“Malam Laguan Puisi ini bukan sekadar nyanyian. Konsep persembahan akan bercirikan teaterikal dengan gabungan bunyi, visual LED, dan deklamasi puisi yang penuh emosi. Ia juga menjadi kolaborasi istimewa antara artis arus perdana dan indie,” tambah Sham.

Sokongan Padu untuk Seni

Acara ini dianjurkan oleh FB Media Ventures dengan sokongan Yayasan Hasanah dan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM). Ia dijangka menarik minat pencinta seni dan budaya tanah air.

Malam Laguan Puisi akan berlangsung pada Sabtu, 8 Februari 2025, jam 9 malam di Panggung Eksperimen ASWARA. Maklumat lanjut mengenai harga tiket dan butiran lain akan diumumkan kelak. Jangan lepaskan peluang untuk merasai malam penuh keindahan seni ini.