KUALA LUMPUR : Peminat penyanyi berasal dari Jakarta, Indonesia berasa sungguh teruja apabila Tulus atau nama sebenarnya Muhammad Tulus, 35, hadir di Dewan Plenari, Kuala Lumpur Convention Center menerusi acara Pertunjukan Fabulous Friday Presents Tulus pada 5 Januari dan 6 Januari yang lalu.
Pertunjukan Tulus yang berlangsung selama 2 malam berturut-turut telah membuatkan peminatnya yang hadir merasai kenangan paling indah apabila penyanyi kesayangan mereka tampil beraksi dengan kelunakan suaranya, rentak lagunya dan sikap baik yang ditonjolkan beliau meninggal kesan yang besar buat pengunjung yang hadir.
Tulus membuka tirai persembahan menerusi lagu yang diambil daripada album Manusia berjudul Satu Kali.
Bagai menunggu 1,000 tahun lamanya, perasaan kerinduan mereka dilepaskan sebaik sahaja menatap sosok tubuh penyanyi tersebut. Melihat keterujaan peminat, Tulus dengan energetik meneruskan persembahan menerusi Ruang Sendiri, Gajah, Kelana, 1000 tahun dan Labirin.
Tulus sempat melayani penonton dengan menandatangani autograf di atas setiap album cakera padat (CD) yang dibawa oleh peminat sambil mendendangkan lagu JCAAA dan Sewindu secara akustik.
Penonton terus dihiburkan oleh pemenang anugerah AMI Awards 2022 ini menerusi lagu Diri, Monokrom, Teman Hidup, Sepatu, Tujuh Belas dan Hati-Hati Di Jalan sebagai pengakhiran persembahan.
Sebahagian penonton merasakan bahawa kurang puas dengan persembahan yang begitu cepat berlalu. Bagaimanapun Tulus tampil semula dengan encore menerusi Manusia Kuat dan melengkapkan sebanyak 15 buah lagu.
Pertunjukan Tulus pada tahun ini dibawakan khas oleh Shiraz Projects menyaksikan seramai 2,800 penonton bagi setiap malam memenuhi Dewan Plenari, Kuala Lumpur Convention Center walaupun sebahagian penonton merasakan agak kecewa kerana ada beberapa lagu yang diminati oleh mereka tidak dinyanyikan oleh Tulus.
Terdahulu, Tulus pernah mengadakan beberapa persembahan di Malaysia melalui Konsert Tulus Live at Istana Budaya dan seterusnya Konsert Sewindu Tour Kuala Lumpur di Dewan Plenari.