KUALA LUMPUR – Malam Silaturahim, sebuah acara eksklusif anjuran HS Event & Entertainment Sdn. Bhd., berjaya menghimpunkan 12 ikon seni tanah air dalam satu malam penuh nostalgia di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL). Acara yang berlangsung pada 25 Disember lalu, bukan sahaja menyajikan persembahan istimewa artis-artis terkenal tetapi turut menyokong usaha amal untuk membantu penggiat seni dan rakan media yang memerlukan.
Antara nama besar yang menggegarkan pentas malam itu ialah Dwan Olan, Mel Wings, Joey BPR, Ali XPDC, Aris Ariwatan, Poey Sting, Ameng Spring, Asheed DEF GAB C, Bagio Damasutra, Amir Ukays, Wan Bossanova, dan Noorshila Amin. Turut memeriahkan acara ialah rakan artis seperti Saari Amri dan Betty Benafe, yang hadir memberikan sokongan.
Kenangan Seni dan Inisiatif Amal
Penganjur, Datin Hjh Rosmariza Dato Hj Che Umar, menjelaskan objektif utama Malam Silaturahim adalah untuk menghargai jasa penggiat seni sambil merapatkan hubungan antara mereka.
“Acara ini bukan sekadar meraikan bakat seni, tetapi menjadi platform untuk membantu mereka yang memerlukan. Ia juga menjadi ruang menyatukan individu yang pernah menjadi nadi kepada industri seni tanah air,” katanya.
Hampir 1,300 penonton memenuhi Dewan Merdeka, dengan semua meja habis dijual. Acara dibuka dengan penuh meriah oleh pengacara, Isma Halil Hamzah, sebelum menyusul persembahan yang mencuit nostalgia.
Persembahan Penuh Emosi dan Nostalgia
Malam itu dimulakan dengan persembahan legenda era 80-an, Dwan Olan, yang menyampaikan lagu-lagu popularnya seperti Cinta Bandar Tasik Selatan dan Kenangan Silam. Walaupun uzur, semangatnya tetap membara.
Ali XPDC juga memukau penonton dengan lagu-lagu Bunga Angkasa, Semangat Yang Hilang dan Hidup Bersama, meskipun dalam keadaan kurang sihat. Turut mencuri perhatian ialah Bagio Damasutra, yang mendendangkan Umpama Mimpi Dalam Mimpi, Sufi dan Antara Sutera Dan Bulan.
Joey BPR tidak ketinggalan menghidupkan suasana dengan Seribu Tahun Takkan Mungkin, sementara Wann dengan suaranya yang serak-serak basah menyampaikan Basanova dan Lamunan Hati, dibantu oleh sorakan penonton.
Mel bekas vokalis kumpulan Wings tampil dengan lagu-lagu ikonik seperti Ranjang Mawar dan Semalam Yang Hangat, manakala Aris Ariwatan memukau dengan Permaidani dan Lamunan Terhenti.
Noorshila Amin pula menceriakan penonton dengan Rambu Ramba dan Aku Sudah Jatuh Hati, diikuti oleh Poey Sting yang membuat penonton bernostalgia dengan Adakah Kau Setia.
Persembahan diteruskan dengan Asheed DEF GAB C, yang menyampaikan Ibu Kota Cinta dan Ampunkan Aku, sebelum pentas diserahkan kepada Ameng Spring, yang menggamit kenangan dengan Bougainvilla, Romantis dan lagu yang menjadi pilihan di pusat-pusat karaoke, Sampai Hati.
Sebagai penutup, Amir Ukays tampil dengan Kekasihku Di Menara Gading sebelum kesemua artis bergabung menyanyikan lagu penutup Silaturahim yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Bumiputra Rockers (BPR).
Kecemerlangan Seni dan Sokongan Komuniti
Selain persembahan memukau, Malam Silaturahim menyerlahkan dedikasi HS Event & Entertainment dalam menyokong industri seni tempatan. Acara ini membuktikan bahawa legasi seni tanah air tidak pernah pudar, malah terus dirai dan dihargai.
Dengan semangat persaudaraan dan kenangan indah yang tercipta, Malam Silaturahim 2024 akan kekal terpahat sebagai malam yang menyatukan jiwa seni tanah air.