Malaysia Diterajui Sebagai Destinasi Kesihatan ASEAN – Dokumentari Khas RTM Angkat Keupayaan Negara

KUALA LUMPUR, 15 Mei 2025 – Malaysia terus memperkukuh peranannya di pentas serantau apabila mengambil alih kepengerusian Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 tahun ini, dengan memfokuskan kepada sektor kesihatan sebagai antara teras utama pembangunan ASEAN.

Seiring dengan pertumbuhan pesat industri pelancongan kesihatan di rantau ini, dokumentari khas bertajuk “Malaysia – Destinasi Kesihatan ASEAN” bakal disiarkan bagi mengetengahkan kelebihan dan potensi negara dalam menawarkan perkhidmatan perubatan bertaraf dunia.

Diterbitkan oleh Unit Majalah dan Dokumentari TV (UMDTV), Radio Televisyen Malaysia (RTM), dokumentari arahan Azry Ahmad Mustafa Hadi itu akan menemui penonton pada 23 Mei ini, jam 9.00 malam menerusi saluran TV1 serta platform penstriman RTMKlik di pautan https://rtmklik.rtm.gov.my.

Malaysia, bersama negara-negara ASEAN lain, kini muncul sebagai destinasi pilihan utama pelancong kesihatan dari serata dunia berikutan kepelbagaian rawatan yang ditawarkan, kos yang kompetitif, serta kemudahan canggih yang menepati piawaian antarabangsa.

Dokumentari ini bukan sahaja mengetengahkan pencapaian sektor kesihatan Malaysia, malah turut memperlihatkan peranan negara dalam memperkukuhkan kerjasama serantau melibatkan penyelidikan perubatan, pembangunan industri farmaseutikal, serta inovasi teknologi kesihatan.

Usaha ini dijangka mampu melonjakkan lagi daya saing ASEAN sebagai kuasa kesihatan serantau, sekaligus memberi manfaat langsung kepada ekonomi dan kebajikan rakyat.

Orang ramai dijemput menyaksikan dokumentari istimewa ini untuk mendapatkan pemahaman lebih mendalam mengenai potensi besar Malaysia dalam bidang kesihatan di persada ASEAN.