“Malaysia Penting Dalam Kerjaya Saya” – Maher Zain Bakal Tampil Dalam Konsert Istimewa

PETALING JAYA, 11 Jun 2025 – Penyanyi antarabangsa kelahiran Sweden-Lubnan, Maher Zain, bakal kembali menggegarkan pentas Asia Tenggara menerusi Konsert Jelajah Asia Tenggara 2025, enam tahun selepas persembahan terakhirnya di Malaysia.

Pengumuman rasmi mengenai konsert yang dinanti-nantikan ini dibuat menerusi saluran media sosial Maher Zain baru-baru ini, dan disahkan dalam satu sidang media khas hari ini yang turut dihadiri pihak penganjur utama, Yayasan Tengku Abdullah (YTA).

Maher Zain, yang terkenal dengan alunan muzik penuh mesej ketuhanan, harapan dan perpaduan, dijadualkan membuat persembahan di tiga lokasi utama:

  • Kuala Lumpur (16 Ogos 2025, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil)
  • Singapura (21 Ogos 2025, The Star Theatre)
  • Kota Kinabalu (23 Ogos 2025, Dewan Canselor UMS)

Konsert ini bakal menjadi persembahan pertama Maher Zain di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu selepas pandemik COVID-19. Kali terakhir beliau menjayakan konsert jelajah di Malaysia adalah pada tahun 2019, di mana kesemua tiket habis dijual dalam masa beberapa hari, membuktikan pengaruh besar beliau sebagai ikon muzik rohaniah di rantau ini.

“Malaysia merupakan bab yang sangat penting dalam kerjaya saya—mungkin lebih signifikan berbanding mana-mana negara lain di dunia,” kata Maher Zain yang kini berada di Turki, dalam satu sesi sidang media secara maya bersama media tempatan.

Dengan lebih 8 juta pengikut di Instagram dan 6.2 juta pendengar bulanan di Spotify, Maher Zain terus menginspirasi ramai melalui karya popular seperti “Insha Allah”, “Baraka Allahu Lakuma”, “Thank You Allah”, serta lagu-lagu terbaharu seperti “Qalbi Fil Madinah” dan “Rahmatun Lil’Alameen”.

Menurut Dr. Mohd Afiq Farhan Md Hanif, wakil Barisan Pengurusan Kanan YTA, konsert ini bukan sekadar persembahan hiburan.

“Di YTA, kami percaya kepada kepentingan memupuk masyarakat yang menghargai seni, ekspresi positif dan nilai-nilai murni. Konsert ini adalah platform untuk menyebarkan mesej kasih sayang, kecekalan dan harapan yang melangkaui pentas,” ujarnya.

Pemilihan lokasi konsert turut mempertimbangkan capaian kepada peminat di Semenanjung Malaysia, Sabah serta negara jiran, Singapura yang menyaksikan sambutan hangat dalam persembahan Maher Zain sebelum ini.

Tarikh Jualan Tiket:

  • Pra-Daftar: 12 Jun 2025, 12:00 tengah hari – 11:59 malam
  • Jualan Umum: 13 Jun 2025, bermula 12:00 tengah hari

Harga Tiket:

  • Kuala Lumpur & Kota Kinabalu: Bermula RM158
  • Singapura: Bermula SGD78

Jelajah ini turut mendapat sokongan padu daripada rakan strategik seperti ERA FM, ERA Sabah, ERA Sarawak, SINAR FM, ZAYAN FM dan SYOK selaku rakan radio; Seismik, World of Buzz dan Lobak Merah sebagai rakan media; serta Hitman Solutions dan Happymoon selaku penganjur rasmi, dengan kerjasama daripada Awakening Music.

Dengan misi untuk menyatukan pelbagai komuniti menerusi kekuatan muzik, Maher Zain dan YTA menjangkakan kehadiran luar biasa daripada peminat tempatan dan antarabangsa yang telah mengikuti perjalanan seni beliau selama lebih sedekad.

“Kepada para peminat yang telah menunggu selama enam tahun — kami kembali untuk anda,” ujar Maher. “Mari jadikan jelajah ini satu kenangan yang tidak akan dilupakan.”