January 14, 2025

KUALA LUMPUR – Legenda death metal dari Amerika Syarikat, Malevolent Creation, berjaya menggegarkan pentas di Raja Laut Ballroom, Hotel Ideas Kuala Lumpur, dalam sebuah konsert penuh epik yang menjadi kenangan manis buat peminat muzik ekstrim tanah air.

Persembahan Pembukaan oleh Sil Khannaz

Konsert ini dimulakan tepat jam 8 malam dengan persembahan pembukaan oleh kugiran death metal lagenda Malaysia, Sil Khannaz. Penonton terpukau dengan rangkaian lagu-lagu terkenal mereka seperti “Sinner Burning Without Humanity”, “Santapan Terakhir Raja Bersiong”, “Catatonia”, dan lagu terbaru yang semakin mendapat tempat di hati peminat, “Mohing Asang”.

Vokalis Sil Khannaz, Jaie, tampil memikat dengan mengenakan hiasan kepala khas suku Dayak, sebagai tanda penghormatan kepada kaum Dayak Borneo. Persembahan mereka disambut dengan tepukan gemuruh daripada penonton yang memenuhi venue.

Aksi Mantap Malevolent Creation

Selepas persembahan pembukaan yang bertenaga, Malevolent Creation mengambil alih pentas dengan penuh bergaya. Kugiran ini memulakan set mereka dengan lagu “Infernal Desire”, diikuti oleh “Living in Fear” dan “Blood of the Fallen”. Energi yang melimpah di kalangan 300 peminat yang hadir terus menyemarakkan suasana.

Persembahan mereka diteruskan dengan deretan lagu ikonik seperti “Manic Demise”, “Release the Soul”, dan “Mandatory Butchery”. Aksi mosh pit yang tidak berhenti menjadi bukti nyata keterujaan penonton. Antara lagu lain yang memukau adalah “Eve of the Apocalypse”, “Coronation of Our Domain”, sebelum konsert diakhiri dengan kemuncak luar biasa menerusi “Multiple Stab Wounds” dan “Malevolent Creation”.

Lokasi Alternatif, Sokongan Padu Peminat

Walaupun menghadapi cabaran apabila lokasi asal konsert tidak dapat disiapkan mengikut jadual, penganjur Rockstage Entertainment berjaya mencari Raja Laut Ballroom sebagai lokasi alternatif. Dengan kapasiti lebih kecil, ia tetap mampu menampung seramai 300 peminat setia, dan tiket habis terjual membuktikan sokongan teguh komuniti death metal tempatan.

Konsert ini bukan sahaja mencerminkan kehebatan Malevolent Creation sebagai nama besar dalam dunia death metal, tetapi juga membuktikan semangat peminat muzik ekstrim di Malaysia masih kuat dan membara. Kejayaan ini diharapkan menjadi inspirasi untuk lebih banyak acara seumpama ini di masa hadapan.

Kredit foto: Papa Din