April 20, 2024

Warning: sprintf(): Too few arguments in /home5/darulmul/public_html/kelkatutv.com/wp-content/themes/chromenews/lib/breadcrumb-trail/inc/breadcrumbs.php on line 253

KUALA LUMPUR : Menjadi antara pencipta kandungan dalam laman sosial terkenal di media sosial, Syafiq Naser, 27 tahun mengakui perkara tersebut ada kalanya memberi ‘tekanan’ kepadanya untuk terus menghasilkan konten yang menarik dan diterima ramai.

Ada dalam kalangan rakan-rakan seangkatan bukan sahaja menerima kecaman malah terus didakwa di mahkamah membuatkan dia mahu lebih berhati-hati sebelum memuat naik kandungan dalam media media sosial.

“Memang perkara ini saya sedari sejak kebelakangan ini apabila pelbagai kandungan ‘pelik’ mula dimuatnaik oleh segelintir pihak yang tanpa disedari sebenarnya menyentuh sensitiviti pelbagai pihak.

“Sebab itu saya selalu berfikir banyak kali sebelum membuat naik apa-apa kandungan agar tidak bertentangan dengan banyak perkara. Banyak perkara kita boleh lakukan tanpa perlu menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat amnya,” katanya yang popular dengan video parodi.

Dalam pada itu, Syafiq juga terbuka hati menerima apa sahaja teguran daripada pelbagai pihak termasuklah netizen dan orang sekeliling sekiranya dia ada memuat naik kandungan yang sensitif.

Syafiq muncul dengan single terbaharunya berjudul Malu 

Sebagai pencipta kandungan, dia terbuka hati menerima nasihat dan dalam masa yang sama menghargai teguran yang diberikan untuk kebaikan dirinya. Namun begitu dedah anak keempat daripada lima adik beradik ini, ada komen yang ditinggalkan diambil perhatian dan ada juga yang tidak dipedulikan.

“Memang banyak komen positif yang ditinggalkan netizen tapi ada juga segelintir yang meninggalkan komen mengarut dan menjatuhkan maruah kita sebagai pencipta kandungan. Biasanya saya hanya buat tak tahu sahaja dengan komen mereka.

“Mereka yang meninggalkan komen negatif ini biasanya tak faham dengan apa yang cuba disampaikan. Jadi saya tak perlu ambil pusing dan menjadikan perkara tersebut hal yang besar sampai boleh menganggu emosi,” tambahnya lagi.

Mengakui ada segelintir rakan-rakannya pernah mengalami situasi sehingga mengganggu emosi, dia mengelak untuk mengambil peduli komen negatif untuk menjaga kesihatan mental sendiri.

Jelasnya, cabaran sebegitu perlu dihadapi dan dilalui memandangkan golongan pencipta kandungan sentiasa menjadi perhatian masyarakat untuk dijadikan ‘bahan’ kutukan daripada segelintir pihak.

Dalam perkembangan lain, Syafiq gembira apabila melancarkan single terbaharunya yang berjudul Malu baru-baru ini. Lagu yang dicipta sepenuh olehnya merupakan buah tangan selepas lagu Lenggang yang menjadi single pertamanya.

Kata anak kelahiran Parit, Perak ini lagi, lagu Malu sudah mula dicipta sejak 10 tahun yang lalu ketika dia berada di bangku sekolah.

“Memang ini merupakan lagu yang sudah dicipta sejak zaman persekolahan lagi. Saya sendiri pernah memperdengarkan lagu ini kepada keluarga dan orang sekeliling ketika itu.

“Alhamdulilah setelah satu dekad berlalu barulah ia direalisasikan. Sudah pasti saya gembira dengan kehadiran Malu dan berharap ia akan diterima baik oleh semula pihak,” tambahnya lagi.

Pun begitu, bagi Syafiq ini mungkin merupakan karya terakhirnya sebagai seorang penyanyi memandangkan kehadirannya dalam bidang nyanyian kurang mendapat sambutan hangat daripada peminat.

Syafiq sewaktu melakukan penggambaran video muzik Malu

Jelasnya menantikan maklum balas daripada peminat menerusi Malu dan sekiranya sambutan baik diterima, barulah dia mahu meneruskan karier sebagai penyanyi selepas itu.

“Saya pernah menyertai pertandingan nyanyian dan mendapat komen negatif daripada seorang komposer popular. Dia tidak suka dengan nyanyian saya dah mahu saya meneruskan dalam bidang mencipta kandungan sahaja.

“Apa yang disebutkan itu memang ‘membakar’ jiwa dan saya mahu buktikan dengan kehadiran Malu ini yang saya juga boleh menyanyi, tidak seperti yang dikatakan,” tegasnya.

Sebagai info, lagu ini menerima Dana Pemasaran Muzik Malaysia 2022 daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOM).

Dilancarkan secara rasmi semalam, Malu sudah boleh distrim disemua platform digital dan video muzik (MV) pula boleh ditonton di saluran YouTube Syafiq Naser.

Syafiq Naser – MALU (Official Music Video)