KUALA LUMPUR, 27 Mac 2025 – Amalan ritual tradisional masyarakat Dusun yang jarang dipaparkan kini diangkat dalam filem seram terbaharu berjudul Mantera, terbitan Pro Merge Vision Sdn. Bhd. Filem ini mengisahkan tentang kepercayaan kepada ‘Bobolian’ (bomoh) yang berperanan sebagai ketua adat serta perantara antara dunia manusia dan ‘kinohiringan’ (dewa), yang masih diamalkan oleh segelintir masyarakat di Sabah.
Pengarah filem ini, Chester Pang, menjelaskan bahawa Mantera diinspirasikan daripada kisah ‘Bobolian’ dan bertujuan memperkenalkan amalan tradisi lama ini kepada khalayak yang lebih luas.
“Tidak ramai yang mengetahui tentang peranan ‘Bobolian’ dalam masyarakat Dusun. Saya merasakan ia satu kisah menarik untuk diketengahkan dalam bentuk filem, bukan hanya sebagai hiburan seram, tetapi juga untuk memaparkan elemen budaya dan mistik yang jarang didokumentasikan,” katanya.

Filem ini menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Syafie Naswip dan Namron, serta pelakon kelahiran Sabah, termasuk Jovenia Jim, Wedylin Batala, dan Larry Noh. Ia mengisahkan penyiasatan satu kes pembunuhan yang mempunyai kaitan erat dengan amalan ritual ‘Bobolian’, dan turut menyajikan pelbagai upacara mistik yang masih menjadi sebahagian daripada kepercayaan masyarakat Dusun.
Penggambaran Diselubungi Insiden Seram
Menurut Chester, penggambaran yang berlangsung di beberapa lokasi di Sabah seperti Tambunan, Apin-Apin, dan Kota Belud pada Februari 2024 tidak terlepas daripada kejadian seram.
“Salah satu insiden berlaku ketika babak memanggil roh di sebuah balai raya, di mana dua pelakon wanita telah dirasuk. Mujurlah keadaan berjaya dikawal oleh seorang guru silat yang secara kebetulan berada di lokasi.
“Kejadian kedua pula melibatkan seorang kru produksi yang terjatuh ke dalam gaung dan mendakwa seperti ditarik sesuatu. Insiden ini turut disaksikan oleh Syafie Naswip dan Namron,” katanya.

Walaupun berdepan dengan cabaran dan kejadian mistik, Chester tetap optimis bahawa filem ini mampu menarik perhatian penonton apabila ia mula ditayangkan di pawagam pada 24 April 2025.
“Mantera bukan sekadar filem seram biasa, tetapi membawa naratif unik yang menonjolkan amalan tradisi kaum Dusun yang mungkin masih asing bagi kebanyakan orang. Elemen budaya yang digabungkan dengan aspek mistik menjadikan ia satu tarikan yang menarik,” tambahnya.
Sinopsis
Tana, seorang wanita muda yang mewarisi kebolehan spiritual daripada keturunan Bobolian, berdepan dengan kejadian aneh apabila roh jahat mula menyerang orang-orang di sekelilingnya. Ketika kematian misteri berlaku satu demi satu, Tana menemui asal-usul roh jahat ‘Rogon Lupiah’ dan kaitannya dengan nenek moyangnya, Ondiya, seorang Bobolian terkenal. Dengan bantuan Inspektor Zafri, seorang pegawai polis yang berdepan masa lalu kelam, mereka harus melawan Rogon Lupiah dalam pertempuran yang menguji batas kekuatan mereka.

Mantera bakal membawa penonton menghayati kisah seram berlatarkan budaya tradisional yang kaya dengan unsur mistik dan kepercayaan turun-temurun. Nantikan tayangannya di pawagam bermula 24 April 2025.