PETALING JAYA, 10 April 2025 – Lagu runut bunyi terbaharu drama sensasi TV3, Keluarga Itu, berjaya mencuri perhatian apabila Tangisan Seorang Pendosa, nyanyian penuh emosi Marsha Milan, menyentuh hati pendengar dengan penghayatan mendalam terhadap watak tragis Puteri Balqis, Dhamiah.
Dicipta oleh Marsha sendiri dengan lirik hasil nukilan Hazama, lagu ini mengetengahkan tema keinsafan, luka batin dan konflik jiwa yang mencengkam – selari dengan perjalanan getir Dhamiah, seorang gadis yang dihimpit derita akibat perbuatan kejam bapanya sendiri.
“Lagu ini diinspirasikan sepenuhnya daripada perspektif watak Dhamiah dalam Keluarga Itu. Saya cuba menyelami dan menyampaikan perasaan yang bergelora dalam dirinya,” kata Hazama ketika ditemui. Marsha pula menjelaskan, “Melodi yang saya cipta lahir daripada perasaan yang mendalam terhadap watak ini. Ia bukan sekadar lagu, tetapi satu luahan emosi dan pengalaman jiwa.”
Lirik lagu Tangisan Seorang Pendosa menggambarkan perjalanan seseorang yang dihantui trauma silam, dilanda rasa bersalah, namun tetap berjuang untuk keluar daripada kegelapan. Lagu ini membawa pendengar menghayati pertarungan antara harapan dan keputusasaan, menjadikan ia bukan hanya relevan dalam konteks drama, tetapi juga menyentuh realiti kehidupan ramai.

Menurut Marsha, proses rakaman lagu ini mengambil masa lebih panjang daripada biasa demi memastikan penghayatan yang tulen. “Saya perlukan dua hari untuk benar-benar ‘masuk’ ke dalam emosi lagu ini. Ia bukan mudah, tetapi sangat berbaloi,” ujarnya. Hazama turut memuji keupayaan Marsha menyampaikan kedalaman emosi menerusi vokalnya. “Penghayatan Marsha luar biasa. Dia betul-betul membawa lagu ini ke tahap lain,” katanya.
Kerjasama mantap antara Marsha dan Hazama membuktikan keserasian kreatif mereka dalam melahirkan karya penuh jiwa. Dengan susunan muzik balada yang menyentuh, Tangisan Seorang Pendosa dilihat bakal menjadi OST yang memberi impak besar kepada penonton dan pendengar.
Lagu ini kini boleh dinikmati di semua platform penstriman seperti Spotify dan YouTube Music.
Jangan ketinggalan menyaksikan Keluarga Itu setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam di TV3 atau strim 24 jam lebih awal di Tonton. Drama ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Muaz Zabir, Puteri Balqis, Amir Ahnaf, Melissa Campbell dan Izara Aishah.