Marsha Milan Ukir Sejarah Di Persada Antarabangsa

Dilantik Sebagai Duta Spotify EQUAL Asia dan Terpilih ke Festival Muzik ASEAN-Korea

PETALING JAYA, 21 April 2025 – Penyanyi terkenal tanah air, Marsha Milan, terus mengukir kejayaan cemerlang apabila dilantik sebagai Duta Spotify EQUAL Asia bagi April 2025, menjadikannya antara artis wanita rantau ini yang diberi penghormatan dalam inisiatif global berprestij anjuran Spotify.

Sebagai sebahagian daripada pengiktirafan ini, wajah Marsha telah menghiasi papan iklan digital ikonik Times Square, New York pada 18 April lalu. Kejayaan ini sekali gus menobatkan beliau sebagai wajah utama playlist EQUAL Singapore & Malaysia, yang turut menampilkan dua buah lagu popular nyanyiannya, Hening Rindu dan Tangisan Seorang Pendosa.

Program EQUAL merupakan inisiatif global oleh Spotify yang bertujuan memperkasakan kesamarataan gender dalam industri muzik, dengan mengetengahkan suara dan bakat wanita dari seluruh dunia. Pemilihan Marsha sebagai duta Asia bagi bulan April merupakan satu pencapaian membanggakan bukan sahaja buat dirinya, malah juga buat industri muzik Malaysia secara keseluruhannya.

Marsha, yang jelas terharu dengan pengiktirafan tersebut, menyatakan rasa syukurnya:
“Ini merupakan satu pengalaman yang amat bermakna buat saya. Sejujurnya, saya tidak menyangka akan diberi peluang sehebat ini. Sejak kecil saya mengimpikan untuk muncul di papan iklan Times Square, dan hari ini impian itu menjadi kenyataan,” ujar beliau.

Mengulas lanjut mengenai harapannya, Marsha berkata beliau ingin melihat pencapaian ini menjadi inspirasi buat penggiat muzik tanah air, khususnya para komposer.
“Saya tidak mempunyai strategi khusus untuk dipilih, namun saya percaya bahawa lagu yang dihasilkan dengan keikhlasan akan tetap mendapat tempat di hati pendengar,” katanya.

Sudah hampir dua dekad bergiat aktif dalam bidang seni, Marsha menekankan bahawa kejujuran dalam berkarya, disiplin serta sikap terbuka untuk terus belajar merupakan antara kunci utama dalam memastikan kelangsungan dalam industri yang sentiasa berubah.

“Dalam dunia hiburan yang serba dinamik ini, kita perlu sentiasa berkembang namun pada masa yang sama mengekalkan identiti. Hubungan baik dengan pasukan dan sokongan peminat juga sangat penting dalam memastikan kelangsungan kerjaya,” ujar beliau lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Marsha turut diumumkan sebagai antara artis pilihan yang akan membuat persembahan di Festival Muzik ROUND (ASEAN-Korea Music Festival) anjuran KBS World Korea. Festival berprestij tersebut dijadualkan berlangsung pada 21 dan 22 Jun 2025 di Zepp Kuala Lumpur, dengan sokongan penuh daripada ASEAN-Korea Cooperation Fund.

Festival tersebut akan menghimpunkan artis-artis terkemuka dari rantau Asia Tenggara dan Korea, sebagai usaha merapatkan hubungan budaya melalui muzik. Marsha menyatakan rasa berbesar hati atas peluang tersebut dan menyifatkannya sebagai satu lagi pencapaian penting dalam kerjayanya.

“Saya amat berterima kasih kerana diberi kepercayaan untuk mewakili Malaysia di pentas serantau. Ia merupakan satu penghormatan yang besar buat saya secara peribadi,” katanya.

Orang ramai boleh terus menikmati alunan suara Marsha menerusi playlist EQUAL Singapore & Malaysia di Spotify serta menantikan maklumat lanjut mengenai Festival ROUND untuk peluang menyaksikan persembahan beliau secara langsung.