KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lagu berbakat, Meer Nash, dengan bangganya mempersembahkan single terbarunya bertajuk “overwhelming”. Lagu ini, yang sepenuhnya dicipta oleh Meer Nash, arrangement lagu oleh SeaTravel, dan juru rakaman adalah Rafiq Zahri @ Soundfuse Studio. Lagu ini berdasarkan pengalamannya sekitar lima bulan yang lalu, menandakan debut pertamanya dalam bahasa Inggeris.
Meer Nash berkongsi, “Lima bulan yang lalu, saya berada dalam keadaan paling sedih yang pernah saya alami. Saya hilang diri kerana sesuatu yang berlaku dalam hidup saya. Saya berasa sangat keseorangan dan pada masa itu hanya muzik dan semangat serta sokongan daripada peminat yang dapat menyelamatkan saya. Jadi terciptalah “overwhelming”, yang sangat peribadi dan dekat di hati saya, untuk dikongsi dengan semua.”
“overwhelming” bermaksud “membebankan”, dan lagu ini mengupas perasaan menjadi terlalu berlebihan dalam konteks memberikan cinta. Lagu ini mendalami keraguan diri, mempertanyakan apakah cara mencintai itu cacat atau penerimanya bukan orang yang tepat. Lagu ini menggambarkan seorang individu yang mencari cinta, di mana kasih sayangnya begitu mendalam sehingga tiada siapa yang dapat menerimanya sepenuhnya seperti yang diharapkan. Pada masa yang sama, individu ini merasa terperangkap dalam hubungan, dihargai hanya untuk kegunaannya. Akhirnya, adakah memberikan cinta adalah satu kesalahan?
Meer Nash berkata, “Saya tahu mempertaruhkan lagu Inggeris di Malaysia agak sukar, tetapi ia merupakan impian saya sebagai peminat muzik Barat.” Walaupun lagu ini pada mulanya adalah “fun project”, Meer Nash “all out” bukan sahaja dalam proses pembikinan lagu, tetapi juga mengarah video muzik “overwhelming”.
“Selepas saya menjadi seorang ‘independent artist’, banyak yang saya mahu cuba kerana saya yakin saya mampu. Salah satunya adalah mengarah video muzik sendiri.” Selepas menyiapkan lagu “overwhelming”, Meer Nash sangat pasti dengan arah visual lagu ini, jadi Meer merasakan dia adalah calon terbaik untuk membawa visi lagu ini ke realiti. Video muzik ini menampilkan Meer Nash dan Katrina Roshan, yang keserasian mereka sudah jelas sejak perjalanan pentas mereka ke China.
“Katrina merupakan anugerah untuk bekerjasama; dia sangat bersemangat dan mahir, terutamanya pada usia yang begitu muda!” Meer Nash berkata, “Saya berasa sangat puas hati apabila imaginasi saya dapat diterjemahkan ke dunia nyata. Mungkin saya akan terus mengarah kerana saya minat dan ia menyeronokkan!”
Antara pengalaman yang Meer Nash tidak dapat lupakan ketika penggambaran video muzik adalah adegan di dalam air. “Saya tidak pernah tahu dan sangka penggambaran dalam air memerlukan usaha yang sangat banyak dan sebenarnya susah. Saya pula jenis yang takut air. Ada satu adegan dalam kolam renang, saya hampir lemas! Nasib baik Katrina ada untuk selamatkan saya, tetapi kerana berat badan saya lebih berat dari dia, saya yang tengah menggelupur secara tidak sedar menarik dia sekali masuk dalam air.” Meer Nash berjanji tidak akan melakukan penggambaran dalam air lagi.
Selain mengarah, Meer Nash juga menyatakan dia sudah membuka syarikat sendiri untuk mengurus dan meneroka semua kemungkinan yang dia boleh lakukan. “Sejujurnya, tidak kira apa yang kita buat, pada mulanya memang akan sukar, tetapi jika kita teruskan, perkara yang sukar akan menjadi lebih mudah hari demi hari.”
“overwhelming” merupakan sebuah hadiah daripada Meer Nash kepada peminatnya, Meernashtions yang sudahpun lama menunggu karya baru ataupun “come back” darinya. Meer Nash berharap lagu “overwhelming” bukan sahaja mendapat sambutan daripada peminat lagu Barat tempatan, tetapi juga mencapai tahap antarabangsa seperti yang diimpikannya.