Melissa Kembali Beraksi: 35 Tahun Perjalanan Rock Diteruskan di Johor Bahru

KUALA LUMPUR, 17 Mei 2025 – Kumpulan rock legenda tanah air, Melissa, bakal meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-35 menerusi sebuah konsert istimewa bertajuk Gegar Bumi Selatan 35 Tahun Anniversary Melissa. Konsert yang dinantikan oleh para peminat setia ini akan berlangsung pada 28 Jun 2025, hari Sabtu, jam 9.00 malam bertempat di The Colosseum Rooftop, City Plaza, Johor Bahru.

Melissa, yang mula mencipta nama pada awal era 1990-an, dianggotai oleh Mohamed Ali atau lebih dikenali sebagai Aliff, Fariz Ahmad (Fareez Undertaker), Mohamed Nor Razak (Ajak Melissa), dan Samsul Kamal Mohd Zain (Ancoy). Mereka pernah mencetus fenomena menerusi lagu ikonik Cinta Untuk Nabila dan tampil dengan tiga buah album studio iaitu Pendirian (1990), Kami Mat Rock (1991), dan Mistik (1993). Tahun ini menandakan genap 35 tahun perjalanan kumpulan yang sinonim dengan gelombang rock kapak tempatan itu.

Konsert ulang tahun ini turut memperkenalkan kumpulan Melissa Band yang ditubuhkan oleh Ajak Melissa pada tahun 2023 sebagai lanjutan warisan muzik kumpulan asal. Melissa Band yang dianggotai oleh Black Melissa Band selaku pemain dram dan Kyoji Sky sebagai gitaris serta pemain keyboard jemputan, akan berkongsi pentas bersama barisan anggota asal Melissa. Penglibatan rasmi mereka adalah sebagai satu penghormatan khas daripada pihak penganjur, Aliffbumirock Production dan Island Hous.

Dua kumpulan jemputan turut akan memeriahkan malam konsert iaitu Spellbound dari selatan tanah air dan Ozon dari utara Semenanjung yang akan membuka tirai persembahan. Keseluruhan konsert dijangka berlangsung selama dua jam setengah hingga dua jam empat puluh lima minit, dengan Melissa bakal mempersembahkan sebanyak 16 lagu tanpa henti, termasuk lagu-lagu daripada ketiga-tiga album mereka serta lagu Coronavirus yang telah dirakam semula oleh Melissa Band.

Dengan lokasi konsert di atas bumbung bangunan terbuka yang membolehkan para penonton menikmati udara segar serta pemandangan bandar Johor Bahru pada waktu malam, konsert ini bukan sahaja menjanjikan persembahan yang penuh nostalgia, tetapi juga pengalaman muzik rock yang autentik dan mengasyikkan. Selain membawakan genre rock and roll, hard rock, heavy metal, ballad rock, slow rock dan blues rock yang selama ini menjadi acuan muzik Melissa, konsert ini juga diharap mampu mengukuhkan lagi kedudukan Melissa sebagai kumpulan rock tempatan yang kekal relevan dan tidak lapuk ditelan zaman.

Penganjuran konsert ini dilihat sebagai satu usaha untuk mengangkat semula sejarah kegemilangan muzik rock tanah air, khususnya dalam genre rock kapak yang telah menjadi satu fenomena besar pada era 1990-an. Walaupun ada yang berpendapat bahawa muzik ini telah ketinggalan zaman, sambutan terhadap kumpulan seperti Melissa membuktikan bahawa warisan muzik ini tetap hidup dalam kalangan generasi lama mahupun baharu.

Menurut wakil kumpulan Melissa, mereka amat berbesar hati untuk menjayakan konsert pertama sempena ulang tahun ke-35 ini buat peminat-peminat muzik tanah air yang datang dari pelbagai latar belakang. Lagu-lagu Melissa yang bersifat ‘evergreen’ kekal relevan sehingga hari ini dan terus menjadi siulan ramai.

Harga tiket konsert ditetapkan pada kadar purata RM120.00 dan boleh dibeli menerusi pautan rasmi di laman berikut:
https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSesc_VXeng6sWPVHf1YRvkzrc9qXWG9POEWyPwK3mF9wCo3ZQ/viewform