KUALA LUMPUR – Malam 31 Mei 2025 menjadi saksi kepada sebuah pesta nostalgia yang tidak akan dilupakan apabila penyanyi dan komposer tersohor Indonesia, Melly Goeslaw, kembali menggamatkan Axiata Arena menerusi konsert bertemakan “Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite”.
Konsert anjuran Icon Entertainment itu bukan sekadar sebuah persembahan muzik, malah menjadi penutup sempurna kepada trilogi konsert yang dimulakan dengan “Back To School” dan diikuti oleh “Malam Graduasi” pada tahun 2024. Prom Nite, seperti yang dijanjikan Melly, adalah malam penuh emosi, memori, dan kegembiraan — satu pesta perpisahan yang diraikan seperti sebuah majlis prom klasik yang membuai kenangan.
“Ini bukan malam terakhir, tetapi malam pertama untuk kita semua kembali ke terowong masa,” kata Iman Tang, Pengasas Icon Entertainment, yang menyifatkan konsert ini sebagai penutup momen yang cukup bermakna buat para peminat Melly di Malaysia.
Diiringi oleh pengarah muzik tersohor, Anto Hoed, konsert yang bermula jam 8.30 malam itu menyajikan lebih 25 buah lagu malar segar ciptaan dan nyanyian Melly. Lagu pembukaan “Ku Bahagia” disusuli dengan deretan lagu popular seperti “Gantung”, “Jika”, “Cinta Sejati”, dan “Sampai Kumenutup Mata”, membuatkan para penonton larut dalam lautan kenangan.
Lebih istimewa, malam itu turut dimeriahkan dengan kemunculan artis undangan termasuk Aina Abdul, Dhinda Ghania, dan pelakon ikonik filem “Ada Apa Dengan Cinta”, Nicholas Saputra, yang turut mempersembahkan segmen khas dengan lagu “Ada Apa Dengan Cinta” dan “Ratusan Purnama”.
Melly turut memberi penghormatan kepada legenda muzik Malaysia dengan medley istimewa lagu “Janji Manis” (Aishah), “Betapa Ku Cinta Padamu” (Siti Nurhaliza) dan “Isabella” (Search), sebagai tanda kasihnya kepada peminat setia di Malaysia.
Sebagai penutup, suasana bertukar menjadi pesta sebenar dengan segmen Party Time, di mana Melly dan para peminat berdansa bersama dengan lagu-lagu ceria seperti “Let’s Dance Together”, “Hey Ladies”, dan “Bagaikan Langit”, sebelum tirai dilabuhkan dengan lagu “Demikianlah”.
Dalam satu kenyataan ringkas, Melly mengungkapkan rasa terharunya:
“Tidak ada janji manis lagi… hanya momen yang tak akan terlupakan untuk kita semua. Terima kasih, Malaysia!”
Kredit Foto: Bangsawan Pictures