Memoir: Karya Terindah Hafiz Zainal

PETALING JAYA, 19 Mac 2025 – Penyanyi merangkap doktor pergigian, Hafiz Zainal, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran single solo ketujuhnya, Memoir. Karya ini bukan sekadar sebuah lagu, tetapi sebuah perjalanan emosi yang sarat dengan makna, berasaskan melodi ciptaan mendiang Chaq, abang kepada penyanyi terkenal, Stacy.

Meskipun lagu ini pada asalnya belum disempurnakan, Stacy mengambil inisiatif untuk melengkapkan karya peninggalan abangnya sebelum mempercayakan Hafiz untuk membawakannya. “Lagu ini sebenarnya untuk Stacy, tetapi dia merasakan genre dan emosi Memoir lebih serasi dengan saya,” ujar Hafiz yang terharu dengan kepercayaan tersebut.

Menurutnya, melodi dan lirik asal lagu ini begitu sarat dengan keikhlasan serta emosi mendalam. “Memoir bukan sekadar lagu, tetapi sebuah penghormatan kepada warisan muzik mendiang Chaq. Stacy menyiapkan lagu ini dengan penuh jiwa, menjadikan proses rakaman lebih istimewa dan peribadi bagi saya,” katanya.

Dari sudut muzik, Memoir menggabungkan unsur balada Melayu dengan inspirasi melodi lagu Cina, menghasilkan karya unik yang dekat dengan jiwa pendengar tempatan. Hafiz turut menyelitkan elemen R&B dalam nyanyiannya untuk memberikan identiti tersendiri kepada lagu ini.

“Julat vokal lagu ini luas dan memerlukan teknik kawalan suara yang baik. Setiap penyampaian boleh memberikan interpretasi emosi yang berbeza kepada pendengar,” jelasnya.

Proses rakaman Memoir mengambil masa tiga jam, dengan bimbingan daripada Bunga Cantik dan Hang Nadim. Hafiz menyifatkan pengalaman bekerja dengan duo kreatif ini sebagai sesuatu yang amat berharga dalam perkembangan kariernya. “Mereka sangat terperinci dan penuh kreativiti. Setiap karya mereka mempunyai jiwa dan kualiti tersendiri,” tambahnya.

Bunga Cantik turut berkongsi bahawa lirik asal Memoir lebih bernuansa kesedihan, tetapi dengan gubahan Hang Nadim, lagu ini berkembang menjadi lebih universal. “Ia boleh menjadi memori kasih sayang, sama ada untuk hubungan yang masih mekar atau sebagai kenangan terhadap insan yang telah tiada,” katanya.

Hafiz berharap Memoir dapat menyentuh hati pendengar yang mempunyai kenangan dengan insan tersayang. Beliau juga mengimpikan lagu ini mendapat pengiktirafan di pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) atau dijadikan OST drama dan filem, sekaligus menjadikannya lebih bermakna dalam industri muzik.

Kini, Memoir sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman. Nikmati melodi dan liriknya yang mendalam, membawa makna tersendiri buat setiap pendengar!