November 13, 2024

Oleh: Lordiness

Pengalaman menonton filem ‘MEMOIR SEORANG GURU’ (disebut dengan sebutan memoar) bukanlah satu pengalaman luar biasa, pelik bahkan tidak pula sampai melompat-lompat teruja dengan teknik CGI atau seumpamanya. Tetapi, ianya sebuah pengalaman menelusuri memori kita semua yang pernah bergelar seorang murid dalam menimba ilmu dengan seorang yang bergelar guru.

Nashkah filem ini tidak terlalu berat, ianya cukup-cukup untuk membuatkan kita menumpahkan airmata melihat babak-babak indah yang mungkin ada antara kita pernah mengalaminya sebagai seorang pelajar yang nakal disekolah.

Mengisahkan seorang guru bernama Sunan yang ditukarkan dari sekolah bandar ke sekolah pedalaman yang mempunyai prestasi yang rendah. Sunan yang sepanjang bertugas sebagai seorang guru ternyata seorang yang hanya mengajar sekadar satu bentuk kerja semata-mata. Tidak lebih dari itu. Segalanya mula berubah apabila dia mula ditugaskan disekolah ini dan mula mengenali setiap anak muridnya yang mempunyai pelbagai kerenah dan latar belakang.

Lakonan mantap Dato’ Rosyam Nor tak perlulah kita pertikaikan lagi. Apa lagi sudut yang boleh kita kritik kepada lakonan beliau, mimik muka, gestur tubuh, penghayatan skrip dan watak, semuanya A++. yang menjadi kejutan adalah lakonan kanak-kanak yang melakonkan watak 3 sekawan dalam filem ini. Sungguh mengesankan dan meruntun jiwa. Sekali sekala tercuit juga dengan dialog dan telatah mereka dalam banyak babak dalam filem ini.

Momen-momen indah inilah yang saya katakan tadi umpama kita menelusuri jalur masa lalu kita disekolah dengan kawan baik kita, berkomplot, mengatur perancangan, bersembang dan bersenda gurau tanpa rasa takut dengan masa hadapan kita dewasa kelak. Naif dan lurus. Inilah yang berjaya ditimbulkan dalam filem ini melalui watak kanak-kanak ini yang mendapat latihan lakonan dari pelakon hebat Ellie Suriaty yang turut membintangi filem ini.

Bagi saya filem ini struktur penceritaannya cukup kuat mungkin disebabkan ianya diadaptasi dari sebuah novel karya penulis prolifik Almarhum Azizi Haji Abdullah. Garapan pengarah Kyoll Hamzah ternyata ada signature beliau yang tersendiri ke atas filem ini. Pun begitu ianya tidak langsung merubah struktur asas jalan cerita filem hebat yang mengangkat martabat seorang guru ini. Saya kira Kyoll Hamzah adalah antara pengarah yang bijak dalam memanipulasi jiwa dan perasaan penonton. Saya tidak terkejut jika filem ini mampu sekurang-kurangnya menyamai kutipan filem ‘Ombak Rindu’ yang pernah menggegarkan industri filem tempatan 13 tahun dulu.

Menariknya, Datuk Rosyam Noor telah diberi peranan utama sebagai Cikgu Sunan dan turut menampilkan barisan pelakon kanak-kanak serta pelakon popular lain seperti Nabila Huda, Johan As’ari, Zul Huzaimi, Hariz Hamdan dan Trisha Ooi.

Ada banyak pengajaran yang boleh kita kutip dari filem ini tak kisah samada kita seorang guru pada hari ini, ataupun seorang bekas pelajar yang sudah pun berjaya dalam bidang masing-masing; filem ini ternyata mampu memberi kesan kepada kita betapa besar pengorbanan seorang guru, tekanan dan ujian mental dan fizikal yang mungkin ada antara kita tidak mengetahui akan cabaran seorang guru dalam mendidik dan memastikan anak-anak muridnya berjaya dunia dan akhirat.

Saya tertarik dengan penutup filem ini dibacakan sajak karya klasik Almarhum Dato’ Usman Awang ‘Guru Oh Guru’ benar-benar meruntun jiwa, membenarkan setiap bait-bait kata-kata Sasterawan Negara ke-3 ini. Masih belum terlambat untuk mengucapkan kepada semua warga pendidik; SELAMAT HARI GURU. Terima kasih cikgu!

Tonton filem ‘Memoir Seorang Guru’ di pawagam seluruh negara pada 30 Mei 2024.