May 22, 2024

Sejak awal kemunculannya dahulu, Amir Hasan kerap menampilkan sesuatu yang berbeza buat peminat muzik dan pendengar setianya secara umum. Kini Amir kembali lagi bersama seorang lagi rakan seninya, iaitu RebelAsia dengan sebuah karya yang tidak kurang menarik berjudul ‘Mona’.

Dicipta oleh Madebyartin, P4PI, dan RebelAsia lagu ini juga mendapat sentuhan lirik P4PI bersama RebelAsia sendiri.

“Mona sebenarnya merupakan sebuah lagu yang mewakili mimpi-mimpi serta impian yang ingin dikecapi. Ia seolah-olah menyeru semua orang untuk tidak berputus asa walaupun hidup penuh dengan aneka dugaan dan cabaran. Ia juga satu pesanan untuk sentiasa kekal merendah diri dan berbangga dengan segala kejayaan yang pernah dicapai. Ia adalah mahakarya peribadi seseorang dalam kehidupan,” jelas Amir panjang lebar.

Menurut Amir lagi, lagu yang diterbitkan oleh Madebyartin ini juga mengambil waktu sekitar sehari untuk proses rakaman.

“Kami mengambil masa sehari untuk memikirkan melodi yang sesuai hinggalah tema yang ingin dilagukan dalam versi rap. Madebyartin berjaya menghasilkan rentak yang hebat lantas jadi saya dan RebelAsia hanya perlu mengisinya dengan kata-kata yang sesuai. Kami memasukkan bait lirik rap secara bebas atau ‘freestyle’ dan dari situ semuanya terhasil dengan sendiri,” tambah Amir lagi.

Berbekalkan rentak muzik yang hebat serta alunan rap yang mengasyikkan, Mona dijangka bakal mencuri perhatian peminat muzik progresif Malaysia.

“Saya harap semua orang akan dapat menikmati karya ini sebagaimana kami telah menikmati proses menghasilkannya,” ujar Amir menutup bicara.

Telah dikeluarkan pada 10 Mei 2024, ‘Mona’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Amir Hasan, Rebel Asia – Mona (Official Visualiser)