November 13, 2024

Naskhah indie yang sebelum ini sudah ‘berjalan’ ke merata dunia lewat festival yang disertai, Mentega Terbang akan ‘menyapa’ peminat menerusi tayangan dalam platform penstriman VIU.

Seperti matlamatnya iaitu mahu mempertingkatkan kandungan Malaysia di skrin global, naskhah hebat ini diedarkan oleh MyContent Distribution lalu dipersembahkan menerusi VIU pada 19 Januari 2023.

Dengan segudang prestasi dan pengalaman yang sudah ditimba oleh naskhah ini, ini merupakan kelebihan filem ini ditayangkan di platform penstriman dan wajar ditonton oleh khalayak sebagai tanda apresiasi terhadap produk tempatan. 

“Kami percaya dengan kualiti dan kekuatan yang ada pada  Mentega Terbang sehingga kami  tidak teragak – agak untuk menjadikan karya ini sebagai naskhah lokal terkini yang ada dalam saluran VIU.

“Dengan genre berbeza, kami yakin penonton akan melihat sisi atau dimensi lain dunia pengarahan produksi indie dan bagaimana mereka mengupas permasalahan atau topik yang diangkat,” ujar Lyn Nasihin dari MyContent Distribution.

Antara babak dalam filem Mentega Terbang

Naskhah Mentega Terbang mengangkat topik agama dan kepercayaan, sebuah topik yang sensitif dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sebagai sebuah naskhah indie lokal, Mentega Terbang telah ditayangkan dalam banyak festival seni termasuk baru habis ditayangkan di Jogja-NETPAC Asian Film Festival ke-16 di Indonesia pada 28 November 2021.

Malah filem ini membina pencapaian tersendiri dengan menjadi filem penutup (closing film) di Festival Filem Aceh 2022. 

Malah Mentega Terbang menerima sambutan hangat dalam kalangan penonton dan pengkritik filem di negara seberang.

“Saya teruja melihat bagaimana penonton di Indonesia sangat menghargai filem ini. Kalau Mentega Terbang dapat menyentuh hati rakyat di Indonesia, saya rasa pasti filem ini mampu menyentuh hati rakyat di dalam Malaysia juga. 

Kami tak sabar untuk membawa filem ini untuk penonton-penonton di negara ini.” kata sang sutradara, Khairi Anwar.

Manakala Meng Kheng berkata,”Kami teruja untuk berkongsi Mentega Terbang dengan penonton Malaysia kami kerana kami percaya mereka cukup matang untuk memahami dan menikmati cerita ini.”

Antara babak dalam filem Mentega Terbang

Mentega Terbang yang diterbitkan Tan Meng Kheng di bawah Meng Kheng Entertainment dan Anomalist Production ini membicarakan dan menimbulkan beberapa persoalan: Apakah wujud kehidupan selepas mati? 

Syurga, neraka, dan kebenaran hakiki, ini ialah persoalan yang terngiang – ngiang di dalam minda Aisyah. 

Dia merupakan seorang pelajar sekolah menengah yang terpesona dengan kebenaran agama, terutamanya tentang apa yang akan berlaku pada selepas kematian. 

Dengan seorang ibu yang mempunyai barah, dan seorang ayah yang liberal dari segi akal dan gaya pemikiran, adakah Aisyah dapat mencari jawapan untuk apa yang dia cari?

Melihat kepada kualiti dan pencapaian yang diraih produksi Mentega Terbang inilah membuatkan MyContent Distribution tidak mahu melepaskan naskhah lokal yang wajib ditonton penonton tempatan juga global ini di  platform penstriman.

Antara babak dalam filem Mentega Terbang

“Seperti matlamat kami sejak ia ditubuhkan pada tahun 2021 adalah untuk membantu industri pembikin filem tempatan dalam memperkasakan nilai pengedaran antarabangsa dan pengeluaran kandungan Malaysia dengan mengedarkan kandungan tempatan pada penstriman global, kami percaya Mentega Terbang akan mendapat tempat dalam hati peminat,” ujar Lyn lagi.

Filem yang diarahkan oleh Khairi Anwar telah dijayakan oleh pelakon-pelakon berbakat antaranya, Syuma Salihin, Arjun Thanaraju, Nik Waheeda, Firdaus Karim, Khairunazwan Rodzy, Shyamala Kandapper dan Jesebel Lee.

Filem Metega Terbang ini telah ditayangkan pada 19 Januari 2023 menerusi saluran VIU.

SINOPSIS

Apakah wujud kehidupan selepas mati? Itulah yang menjadi persoalan dan pengetahuan penting yang ingin diketahui Aisyah. Dia mahu tahu tentang syurga, neraka  dan kebenaran hakiki.