December 5, 2023

KUALA LUMPUR – Kumpulan muzik Indonesia yang ‘meledak’ menerusi lagu Asal Kau Bahagia, Armada Band telah mengadakan konsert Armada First Encounter di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Oktober lalu. Konsert berdurasi 2 jam lebih itu menyajikan persembahan yang penuh energetik dengan susunan menu lagu-lagu dari album pertamanya hingga ke album terakhirnya.

Armada yang dianggotai oleh Rizal (vokalis), Andika Maihendra atau Mai (gitar) dan Meri Yandi atau Andit (dram) merasakan antusias apabila dapat bertemu dengan peminat Armada di Malaysia. Konsert Armada First Encounter anjuran SK One Venture Sdn. Bhd. disambut 2,500 pasukan Armada yang hadir bagi menyaksikan persembahan yang julung kali diadakan di sini.

Menurut vokalis Armada iaitu Rizal berkata, mereka sememangnya sangat teruja apatah lagi sudah menanti terlalu lama untuk menbuat persembahan berskala besar di Malaysia.

“Insya-Allah kami akan melakukan konsert perdana kami di Malaysia iaitu Kuala Lumpur lebih tepatnya, terima kasih banyak support dan dukungannya. Insya-Allah, kami menanti penuh excited malah akan kasi persembahan terbaik yang bisa kami berikan untuk semua penonton pada malam ini.” Ujar Rizal di sidang media sebelum konsert.

Sebanyak 15 buah lagu dipersembahkan pada malam itu merangkumi lagu-lagu hit Armada semenjak penubuhannya tahun 2007 yang sebelum ini dikenali dengan nama Kertas band yang pernah popular menerusi lagu Kekasih Yang Tak Dianggap. Masih lagi mengekalkan genre pop, kumpulan yang berdomisili di Palembang, Sumatera Selatan ini merilis Album pertama pada tahun 2008 yang berjudul Balas Dendam dengan single Gagal Bercinta dan nama Armada mula mendapat perhatian ramai.

Tirai pentas mula dibuka tepat jam 8.30 malam dengan kemunculan penyanyi Tiera Shameira bersama band pengiring Hard Koplo sebagai opening act mendapat sorakan gemuruh dari penonton apabila Tiera menyampaikan 3 buah lagu bergenre dangdut membuatkan penonton turut bergoyang sama.

Seusai persembahan Tiera Shameira, pentas mula dijajah oleh band yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh peminat setia Armada. Kemunculan Rizal, Mai dan Andit membuatkan penonton bersorak dan menjerit nama band kesayangan mereka. Setup berbeza sedikit apabila set dram diletakkan di sebelah kanan pentas, mungkin sengaja diletakkan disitu agar peminat dapat melihat dengan lebih jelas pukulan Andit berbanding jika diletakkan dibelakang seperti kebiasaan konsert.

Tanpa apa bicara, Rizal terus menyanyikan lagu Mau Dibawa Ke Mana sebagai mukadimah yang mana Armada sentiasa menghargai peminatnya dan diikuti dengan lagu Cinta Itu Buta dan Mabuk Cinta. Rizal membuatkan emosi penonton sayu saat mendendangkan lagu Apa Khabar Sayang yang dicipta khas buat anak kesayangan Mai yang telah pergi buat selamanya. Rizal begitu bijak berinteraksi dengan penonton apabila dia meminta penonton menyalakan flashlight dari telefon bimbit masing-masing untuk menciptakan nuansa kerlipan ‘bintang-bintang’ di dalam ruangan Zepp KL. Buka Hatimu, Pemilik Hati, Awas Jatuh Cinta dan Hargai Aku terus berkumandang sambil dinyanyikan bersama peminat yang rata-ratanya begitu hafal dengan lirik lagu-lagu Armada.

Usai lagu-lagu tersebut, Rizal sempat bercanda dengan penonton yang kelihatan sedih apabila menghayati bait-bait lagu yang didendangkan namun dia hanya tersenyum dengan sahutan penonton yang mengatakan melodi dan lirik lagu-lagu Armada sememangnya sedih.

“Itulah risiko jika datang ke konsert Armada! Kalau datang ke konsert kami memang akan merasa sedih.” Kata Rizal disambut gamat gelak ketawa penonton yang hadir.

Single terbaharu Memori diperdengarkan, satu lagi lagu ballad mellow yang indah. Di antara lagu ke lagu, Rizal menyelitkan kata-kata nasihat tentang cinta. Nasihatnya sangat bermakna dan dihargai setiap yang hadir. Rizal juga menyatakan peminat Armada di Indonesia dan juga Malaysia berbeza kerana ada lagu yang sangat popular di negaranya namum tidak di Malaysia.

“Penikmat lagu berbeda-beda, ada beberapa lagu yang di Indonesia bisa dibilang tidak terlalu popular, tetapi di sini popular, ada juga yang di Indonesia sangat popular, tapi di sini tidak begitu. Oleh itu kami kombinasikan lagu-lagu tersebut dan inilah 15 buah lagu yang kami persembahkan pada malam ini,” kata Rizal.

Selanjutnya Armada meneruskan persembahan dengan lagu-lagu popular mereka seperti Bebaskan Dirimu, Penantian, Harusnya Aku. Suasana dan sentimental jiwa masih tetap diteruskan apabila Asal Kau Bahagia didendangkan. Hampir kesemua penonton terpukau dan hanyut dalam keasyikan.

Sebelum tirai pentas dilabuhkan, Rizal mengajak penonton berdansa apabila malam dihiasi lagu Pulang Malu Tak Pulang Rindu, ala-ala pop reggae dan Pergi Pagi Pulang Pagi dipilih sebagai outro yang bijak. Armada mengharapkan penonton yang hadir akan kembali pulang dengan wajah keceriaan dan kenangan yang penuh bermakna.

Sementara itu, Armada akan meneruskan siri konsertnya di Kota Kinabalu, Sabah pada tanggal 4 November ini. Rasa kepuasan terserlah apabila kunjungan Armada ‘berlabuh’ di sini menjadi kenyataan.