Mimi Fly dan AirAsia lancar kempen #SerumpunSkyDance semarakkan Raya serantau

KUALA LUMPUR, 24 Mac 2025 – Penyanyi dan penulis lagu terkenal, Mimi Fly, terus mencipta fenomena menerusi lagu raya terbaharunya, Serumpun. Terbaharu, beliau bekerjasama dengan syarikat penerbangan AirAsia untuk melancarkan kempen eksklusif, #SerumpunSkyDance, yang menggabungkan budaya, muzik, dan gaya moden Asia Tenggara dalam satu persembahan visual yang unik.

Kempen ini menampilkan tarian eksklusif yang dirakam di landasan AirAsia dengan pesawat ikonik sebagai latar belakang, melambangkan semangat perpaduan serantau. Video rasmi kempen ini kini boleh ditonton di pelbagai platform digital rasmi AirAsia, termasuk TikTok, Instagram, YouTube serta paparan Digital OOH.

Menurut Mimi Fly, kerjasama ini memberikan pengalaman luar biasa buat dirinya. “Berkolaborasi dengan AirAsia adalah satu perjalanan yang mengujakan, bukan hanya sebagai artis tetapi juga sebagai wakil budaya rantau ini. Berdiri di landasan dengan pesawat sebagai latar belakang memberikan simbol yang kuat—Serumpun benar-benar terbang tinggi!” katanya.

Pelancaran Dolby Atmos untuk Serumpun

Selain itu, Mimi Fly turut mengumumkan pelancaran versi Dolby Atmos untuk lagu Serumpun. Lagu ini telah diadun oleh penerbit terkenal, Taja Mustapha, bagi memberikan pengalaman audio yang lebih mendalam dan berkualiti tinggi. Kini, peminat boleh menikmati versi Dolby Atmos Serumpun di semua platform digital utama.

“Melancarkan Serumpun dalam Dolby Atmos adalah pencapaian penting dalam karier saya. Adunan ini membolehkan peminat menikmati lagu ini dengan cara yang sepenuhnya baru,” ujar Mimi Fly.

Pelancaran kempen ini hadir pada waktu yang tepat, apabila lagu Serumpun telah menduduki carta digital dan tular di media sosial. Kolaborasi antara Mimi Fly dan AirAsia bukan sahaja mengangkat jenama Serumpun ke tahap yang lebih tinggi, tetapi juga menjadikannya sebagai simbol perpaduan serantau.

Dalam perkembangan lain, M Fly Entertainment turut mengeluarkan versi suntingan rasmi video muzik Serumpun, selepas menerima maklum balas positif daripada penonton. Video muzik ini telah meraih lebih daripada satu juta tontonan dalam masa empat hari, membuktikan sokongan padu daripada peminat.

Kempen #SerumpunSkyDance bukan sekadar satu perayaan Hari Raya, tetapi juga satu pergerakan budaya yang menghubungkan seluruh Asia Tenggara. Inilah Raya serantau yang sebenar. Inilah Serumpun! #BerayaSerumpun