KUALA LUMPUR, 7 Jun 2025 — Penyanyi dan komposer berbakat, Mimifly, telah melancarkan muzik video (MV) terbaharu berjudul “Sahabat” semalam, di saluran rasmi YouTubenya. Lagu ini merupakan sebuah dedikasi istimewa kepada Allahyarham Jojo, rakan seperjuangannya dalam kumpulan One Nation Emcees, yang telah pergi meninggalkan dunia namun kekal hidup dalam memori dan melodi.
Lagu Sahabat, ciptaan Mimifly bersama Bo Curley, menampilkan lirik penuh nukilan Mimifly sendiri — hasil luahan rasa dari hati seorang sahabat sejati. Lagu ini bukan sekadar karya muzik, tetapi merupakan catatan kasih dan penghargaan yang mendalam terhadap keakraban dan ikatan tidak ternilai yang pernah terjalin bersama arwah Jojo.

Menambahkan lagi kesan emosinya, MV Sahabat hadir dengan konsep visual retro era lama, menyuntik elemen nostalgia yang cukup kuat. Mimifly sendiri terlibat secara aktif dalam pembentukan konsep dan arah seni visual MV ini, termasuk dalam pemilihan lokasi, rekaan kostum, serta sinematografi, agar emosi lagu dapat diterjemahkan sepenuhnya dalam bentuk visual.
MV ini diterbitkan dengan kerjasama Konda Kondi Studio, rakan produksi yang telah lama berkongsi wavelength kreatif dan keserasian kerja bersama Mimifly. Kerjasama ini sekali lagi membuahkan hasil yang penuh jiwa dan ketelitian.

Menariknya, lagu Sahabat turut dipilih sebagai lagu penutup rasmi (ending credit song) untuk filem tempatan yang dinanti-nantikan, “Mencari Ramlee”, yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 19 Jun 2025. Filem arahan pengarah terkenal itu dibintangi oleh Sofea Jane dan Tony Eusoff, dan kehadiran lagu ini di penghujung filem dijangka meninggalkan impak emosional yang mendalam kepada para penonton.
Dalam kenyataannya, Mimifly menyatakan harapan agar muzik video ini bukan sahaja menjadi penghargaan kepada sahabat yang telah pergi, tetapi juga menyentuh hati sesiapa sahaja yang pernah merasai kehilangan insan tersayang.
“Jojo bukan sekadar rakan muzik, dia adalah sebahagian daripada perjalanan hidup saya. Lagu ini saya tulis dari hati, dan saya harap ia dapat memberi ruang untuk kita semua mengenang mereka yang pernah bersama kita — walaupun kini hanya tinggal kenangan,” ujar Mimifly.
MV Sahabat kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Mimifly — sebuah karya penuh emosi, penghormatan dan kasih yang abadi.