Misha Omar akan menunaikan doa dan impian peminat setianya apabila mengumumkan persembahan solonya yang bakal berlangsung pada Disember ini, setelah kali terakhir berada di pentas Istana Budaya pada tahun 2021.
Selepas jeda tiga tahun, penyanyi yang dikenali dengan suara merdu ini memilih lokasi yang lebih kecil dan intim berbanding pentas konsert berskala besar, menjadikan showcase ini lebih dekat dengan penonton. Dinamakan Misha Omar Back To Basic Showcase, acara ini akan diadakan pada 21 Disember 2024 di Odeum at Jiospace, Petaling Jaya, bermula pada pukul 8.30 malam.
Menurut Misha, penyanyi kelahiran Kelantan ini menganggap showcase tersebut sebagai apresiasi buat peminat yang setia mendukung karier seninya yang kini mencecah dua dekad. Misha juga mengakui bahawa showcase ini menjadi ‘pemanas’ untuk merealisasikan impian besarnya mengadakan konsert berskala besar pada masa akan datang.
“Sebagai penghibur yang sudah dua dekad berada dalam industri muzik dan masih mampu kekal relevan, bohong jika saya katakan tidak punya mimpi mengadakan konsert besar-besaran,” ujarnya.
“Namun, saya ingin memulakan langkah kecil sebelum mencetak sejarah yang lebih besar. Misha Omar Back To Basic Showcase ini juga diadakan khas buat peminat yang setia bertanya bila saya akan kembali menghiburkan mereka secara langsung.”
Mengulas lebih lanjut tentang konsep showcase yang dianjurkan oleh Double M Productions, Misha akan menghiburkan peminat selama 90 minit dengan iringan pemuzik profesional. Penyanyi berusia 42 tahun ini mengajak Datuk Syafinaz Selamat sebagai pengarah vokal, sementara Ayop Azril dipilih sebagai pengarah muzik bersama sembilan pemuzik yang diketuainya. Jennifer Thompson pula diberi tanggungjawab sebagai pengarah konsert, dengan Simon Khoo menggalas tugas pengarah teknikal.
Dengan konsep ‘kembali kepada asas’, showcase ini akan mengajak peminat merasai nostalgia awal kerjaya Misha, termasuk kenangan menyanyi di pentas kecil seperti Planet Hollywood pada masa lalu.
“Nama Misha Omar Back To Basic Showcase punya makna yang signifikan. Saya mahu peminat merasai kembali saat awal saya berkecimpung dalam industri muzik, saat pertama kali saya menandatangani kontrak rakaman pada tahun 2002. Lebih daripada itu, beberapa kejutan istimewa juga akan saya sediakan pada malam tersebut,” kata Misha.
Peminat Misha Omar kini berpeluang merasai malam bersejarah ini dengan membeli tiket Misha Omar Back To Basic Showcase yang dijual bermula 27 November 2024 pada pukul 10 pagi di platform JIOTIX: https://www.jiotix.asia. Tiket ditawarkan pada harga RM288 (CAT 2 – free standing), RM338 (CAT 1 – free standing), RM388 (Mezzanine – tempat duduk bernombor), dan RM488 (VIP: tempat duduk bernombor termasuk pas sesi fotografi).
Untuk maklumat lanjut, hubungi +6011-51003111 (teks Whatsapp sahaja) atau emel ke ask@jiotix.asia.