January 18, 2025

KUALA LUMPUR – Jika anda penggemar atau memiliki hobi unik menjejak lokasi dimana terletaknya Kilometer Sifar (KMO), usah lepaskan peluang menambah info dikongsikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam sebuah program travelog terbaharu bertajuk “#CARISAMPAIJUMPA”.

Menerusi 13 episod siarannya, hos Nadia Hasnan akan mengembara menjejak batu atau tanda bertulis KMO di Malaysia yang dianggap bersejarah, penting dan wajar dipelihara untuk tatapan generasi akan datang. Selain itu juga turut diselitkan dengan perkongsian lokasi menarik negeri dilawati serta mencuba makanan dan aktiviti mencabar di situ.

Antara lokasi menarik dan mengujakan terletak di Pulau Pinang, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pahang, Terengganu dan Kuala Lumpur. Setiap penghujung episod akan menemubual pihak Jabatan Kerja Raya lokasi dipilih sebagai pengesahan maklumat yang dikongsikan.

Kembara di Pulau Pinang membawa Nadia ke pekan George Town. Sebelum menjejak lokasi KMO, Nadia sempat meluangkan masa mandi di Air Terjun Teruna Dara yang juga letaknya di Balik Pulau. Aktiviti lain mengunjungi lokasi indah untuk bergambar di Kampung Agong yang juga merupakan lokasi tarikan pelancong. Satu lagi lokasi KMO letaknya di Butterworth, Pulau Pinang.

Seterusnya di Kelantan pula Nadia berada di pekan Kota Bharu menikmati keindahan mural seni budaya tarian Mak Yong dan wayang kulit. Di Jeli, Kelantan dia mencuba kelainan menginap di penginapan gampling yang lebih semula jadi untuk dinikmati persekitarannya. Ada juga kunjungan Nadia di Pantai Senok terletak di daerah Bachok, Kelantan yang mendapat jolokan Pulau Nami Malaysia. Lokasi ditemui KMO di Pengkalan Kubor.

Tidak ketinggalan kembara di Kuala Kubu Bharu, Selangor mencuba aktiviti mencabar termasuklah ‘zipline’ dan ATV dalam hutan. Terus ke Kuala Selangor berjaya menjejak lokasi KMO di Dataran Malawati dan satu lagi di Klang, Selangor.

Di Negeri Sembilan pula Nadia berada di Seri Menanti, Kuala Pilah dan berjaya menemui KMO di situ juga dua lokasi lain terletak di Seremban dan Port Dickson.

Ikuti siaran program ini yang bermula 20 Januari ini, setiap Sabtu, pukul 9.30 malam di TV Okey dan juga secara penstriman langsung di RTMKlik (www.rtmklik.rtm.gov.my).