
(Oleh: Idzham Hadi Sidik)
TAWAU – “ENAM dua puluh satu minit petang… Sekarang masuklah waktu Maghrib dan berbuka puasa bagi daerah Tawau, selamat berbuka puasa” serentak itu berkumandang Azan di radio TAWAUfm selepas diumumkan penyampai bertugas pada Jumaat 22 Mac 11 Ramadan.
Isi kandungan
Pada masa sama, team Misi Kemanusiaan Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) sampai di Masjid Nur Al-Taqwa Kampung Terasing batu 17 Apas Tawau Sabah.
Ketibaan peserta dalam Misi Kemanusiaan – Taja Berbuka Sejiwa Berbakti itu disambut mesra oleh Ahli Dewan Undangan Negeri N67 Balung, Datuk Hamild @ Hamid Haji Awang dan Ahli Parlimen Tawau Tuan Lo Su Fui serta penduduk kampung.

Sumbangan bakul makanan
Sebaik sahaja tiba, mereka terus berbuka puasa bersama sama lebih 200 jemaah masjid yang menunggu sejak petang untuk menerima sumbangan bakul makanan yang diinfaqkan orang ramai melalui Serantau Muslim.
Jika mengikut jadual asal, peserta misi yang diketuai Ustaz Shamsul Anuar Busra bersama sama Iskandar Hamdan, Nurul Adrina Abdullah, Nur Adilah Muhammad Nazri dan Siti Fatyhah Sulaiman akan sampai di lokasi majlis penyerahan sumbangan 30 minit sebelum waktu berbuka puasa.
Namun pesawat MH2664 penerbangan Kuala Lumpur Tawau yang dijadual mendarat pada 5.30 petang berdepan masalah cuaca ketika cubaan ‘touch down’ dan menyebabkan kelewatan hampir setengah jam.
Bagaimanapun, Alhamdulillah pesawat MAS yang dikendalikan oleh juruterbang berpengalaman berjaya mencecah landasan dengan selamat sekaligus misi Serantau Muslim di bumi Negeri di bawah Bayu dapat dilaksanakan bersempena Ramadan kali ini.

Berbakti kepada masyarakat
Penyerahan sumbangan Taja Berbuka untuk lokasi pertama di Tawau telah disempurnakan dengan penyerahan dilakukan bersama oleh Datuk Hamild @ Hamid, Tuan Lo Su Fui dan Ustaz Shamsul Anuar Busra.
Semua 100 golongan sasar menerima bakul makanan yang mengandungi antaranya beras 5kg, minyak masak, ketupat segera dan gula pasir bagi kegunaan sepanjang Ramadan ini.
Ahli Parlimen Tawau turut menyerahkan sumbangan kurma kepada penduduk kampung yang hadir pada majlis berbuka puasa yang berlangsung dalam suasana harmoni dan bersepakat.
Menurut Datuk Hamild @ Hamid, langkah yang dilaksanakan oleh Serantau Muslim melalui program Taja Berbuka itu dapat membantu meringankan beban golongan B40 selain bersama sama kerajaan untuk berbakti kepada masyarakat.
Sentiasa membuka pintu untuk NGO
Loh Su Fui pula memberi jaminan bahawa semua masyarakat di Sabah terutamanya di Kawasan Parlimen Tawau sentiasa membuka pintu kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dari Semenanjung yang mahu melaksanakan aktiviti di negeri itu.
Ustaz Shamsul Anuar Busra pula menerangkan, program Taja Berbuka Serantau Muslim itu masuk tahun ke empat dibuat di Sabah dan untuk daerah Tawau ini adalah kali yang kedua.
“Melalui program Taja Berbuka, Serantau Muslim dapat melunaskan amanah daripada orang ramai yang terus menderma dengan memberi kepercayaan kepada NGO ini untuk disampaikan kepada golongan sasar” katanya.

Dibantu oleh kelab pacuan 4 roda
Program Taja Berbuka di Tawau itu diselaraskan oleh Tuan Haji Idzham Hadi Haji Sidik selaku Special Outreach Coordinator Serantau Muslim dengan dibantu Pengerusi Kelab 4×4 Tawau S.A Haniff Ahid @ Sky. Penghantaran semua bakul makanan ke Kampung Terasing Batu 22 Apas, Kampung Indera Sabah dan RTM Tawau dibantu oleh ahli-ahli Kelab 4×4 Tawau.
Hari ini 23 Mac 2024, Program Taja Berbuka Serantau Muslim akan diteruskan di Kampung Indera Sabah kira-kira 41 kilometer dari bandar Tawau, 100 golongan sasar lagi akan dapat manfaat.