April 22, 2024

SERI KEMBANGAN – MIVAS X 2023 bukan sahaja sekadar ekspo vape tetapi lebih kepada meraikan buat penggemar-pengemar vape. Acara ini bertujuan untuk memupuk semangat kemasyarakatan dan kemesraan dalam kalangan penggemar vape sambil menyediakan platform untuk jenama terkemuka serta pendatang baharu mempamerkan produk dan teknologi terkini mereka. Sama ada anda seorang vaper berpengalaman atau baharu dalam bidang ini, MIVAS X menawarkan sesuatu untuk semua orang daripada newbie yang ingin menerokai dunia vape kepada vaper berpengalaman yang ingin mengembangkan koleksi mereka.

penganjur MIVAS X 2023 saudara Pjul (foto: Papa Din)

Menurut penganjur MIVAS X 2023, yang dikenali sebagai Pjul, ekspo pameran vape yang melibatkan pelbagai negara telah dianjurkan untuk kali ke-4. Acara yang berlangsung pada 12 dan 13 Ogos 2023 bertempat di Mines Convention Centre (Miecc), berjanji untuk menjadi syurga bagi penggemar vape dengan menghimpunkan pemain industri dan mempamerkan produk inovatif berkaitan vape seluruh dunia.

“Alhamdulillah, 90 peratus vendor yang mengambil bahagian dalam ekspo MIVAS X 2023 ini adalah daripada luar negara. Antara vendor atau pempamer yang menyertai ekspo ini datangnya daripada China, United Kindom, Poland, Dubai dan Korea. Mereka ini ingin memperkenalkan produk-produk mereka kepada pengguna di sini dan kebanyakan produk yang dipamerkan ini tidak pernah ada lagi di Malaysia.” Katanya.

(foto: Papa Din)

Pjul menegaskan bahawa kesihatan dan keselamatan pengguna tetap menjadi keutamaan. MIVAS X juga mematuhi semua garis panduan dan protokol kesihatan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan untuk memastikan pengguna selamat dan merasai pengalaman yang menyeronokkan.

“Kerajaan Malaysia telah mengiktiraf penggunaan vape dengan mengenakan cukai atas barangan berasaskan vape dan pada masa yang sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menarik keluar nikotin dari akta racun secara automatik ianya menjadi sah dalam penggunaan vape.

“Garis panduan yang dikeluarkan ini telah disebarkan ke seluruh dunia, jadi kepada pemain industri vape keseluruhan mereka telah maklum mengenai speksifikasi dan wajib mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan apabila mereka ingin memasarkan produk mereka ke Malaysia.” Jelas Pjul lagi.

(foto: Papa Din)

Sementara itu, seramai 74 vendor dari dalam dan luar negara dengan lebih 250 jenama produk telah dipamerkan di sepanjang acara yang berlangsung selama dua hari ini. Pelbagai barangan eksklusif dan tawaran menarik telah disediakan untuk pengunjung dan penggemar vape yang hadir ke ekspo ini.

Dengan adanya pameran produk vape ini, pengunjung dapat melihat dengan lebih luas lagi berkenaan produk vape daripada pengeluar tempatan dan antarabangsa yang terkenal. Daripada peranti dan aksesori vape yang canggih kepada pelbagai jenis e-cecair premium dalam pelbagai perisa.

Barisan artis yang hadir bersama penganjur (foto: Papa Din)

MIVAS X 2023 dimeriah lagi dengan kehadiran lebih lima ribu pengunjung pada hari pertama walaupun acara ini bertembung dengan pilihan raya negeri (PRN) yang telah diadakan semalam. Kehadiran artis dan selebriti tempatan serta pempengaruh media sosial menyerikan lagi acara tersebut. Antara artis yang hadir seperti MonoSterio, Ucop Ahmad, Yaya Nadiah, Wan Natasha dan ramai lagi.

Ekspo yang diadakan ini bukan sahaja untuk menarik pempamer luar mempromosi produk mereka tetapi dalam masa yang sama mereka ingin memberi kesedaran kepada perokok tradisional beralih kepada pengunaan vape sebagai satu langkah alternatif untuk berhenti atau mengurangkan daripada tabiat menghisap rokok.

“Kita bukan sahaja bawa vendor luar untuk memperkenalkan produk-produk mereka sahaja tetapi dalam masa yang sama kita educate new user bagaimana mereka untuk berhenti merokok dengan menggunakan vape dan kita beri informasi baharu kepada pengemar vape.” Kata Pjul ketika ditemui media di sini.

(foto: Papa Din)