Monosterio bakal lancar single dan muzik video terbaharu ‘Sang Lara’ November ini

KUALA LUMPUR – Kumpulan muzik alternatif Monosterio bersedia memukau peminat dengan pelancaran single dan muzik video terbaharu mereka yang berjudul Sang Lara pada 11 November ini. Mengikuti kejayaan single pertama mereka MonofonikSang Lara menawarkan sisi berbeza kumpulan ini dengan konsep alternative pop yang lebih mesra pendengar, menambah kepelbagaian dalam karya mereka sejak penjenamaan semula pada tahun 2023.

Monosterio, yang terdiri daripada Izan (vokalis), Anep (drum), dan Alan (gitar), memilih untuk bergerak secara bebas tanpa naungan mana-mana label rakaman. Namun, Asia Empire Record berperanan sebagai pengedar rasmi mereka. Pelancaran kali ini dijangka membawa Monosterio lebih dekat dengan peminat muzik tempatan melalui sentuhan emosi dan mesej yang kuat dalam lagu Sang Lara.

Kisah di Sebalik ‘Sang Lara’

Lagu Sang Lara mengisahkan tentang pengorbanan dalam percintaan, di mana cinta yang terpaksa dikorbankan mencetuskan inspirasi kepada watak lelaki dalam lagu untuk mengabadikan kisah itu dalam sebuah lagu. Diterapkan dengan lirik yang menyentuh perasaan, Sang Lara dijangka mendapat sambutan hangat, dengan tema yang mudah difahami dan dekat dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Muzik Video dengan Pendekatan Baharu

Muzik video rasmi Sang Lara turut dilancarkan hari ini, dengan arahannya dikendalikan sendiri oleh Anep. Video ini menampilkan model bernama Lara sebagai teraju utama tanpa kemunculan ahli kumpulan Monosterio. Menurut kumpulan ini, keputusan untuk tidak muncul dalam muzik video adalah untuk memberi ruang kepada penonton menyelami emosi lagu dengan lebih mendalam, di samping memberi fokus sepenuhnya kepada kisah yang disampaikan melalui watak Lara.

Album Penuh Menyusul pada 2025

Monosterio kini giat menyiapkan album penuh mereka yang dijangka akan menemui pasaran pada tahun 2025. Album tersebut akan diedarkan dalam bentuk cakera padat, dengan koleksi barangan eksklusif seperti kemeja-T, stiker, dan poster. Semua lagu dalam album ini adalah hasil ciptaan sepenuhnya oleh Monosterio, dengan proses rakaman, mixing, dan mastering dikendalikan oleh Anep di studio Asia Empire Record.

Dengan pelancaran Sang Lara, Monosterio berharap dapat terus memberi impak positif dalam industri muzik tanah air dan menyentuh hati pendengar melalui karya yang penuh makna.