10 tahun lalu, ketika berita kehilangan pesawat MH370 tersebar, ia menyentuh jiwa seluruh rakyat Malaysia. Ini termasuk Sahaq Ibrahim dan Sara Razz yang ketika itu banyak membuat persembahan di pentas-pentas kecil sebagai duo vokal dan gitar.
Sahaq dan Sara memulakan penulisan lagu yang terilham daripada tragedi tersebut. Lagu itu tersimpan sebagai demo yang dinamakan sebagai “370”, dipersembahkan dalam beberapa acara namun tidak pernah diterbitkan secara rasmi.
Kini selepas 10 tahun, lagu tersebut diberi susunan yang lebih segar dan dirakam secara profesional bersama kugiran yang diasaskan Sahaq, motherwit. Sara turut menyumbangkan suara dalam rakaman studio pertamanya ini.
Diberi tajuk “dan bila”, lagu ini membawa doa dan rintihan rindu mereka yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi MH370.
Misteri tak terungkap
Menurut Sahaq, lagu tersebut disusun dan dirakam semula kerana apa yang disampaikan masih relevan sampai ke hari ini.
Kata beliau, lirik lagu tersebut pekat dengan harapan dan harapan untuk keadilan terhadap mangsa MH370 tidak akan terpadam selagi tidak tercapai.
“Waktu kami tulis lagu ini, banyak misteri yang tak terungkap. Pandangan kita kabur.
“Tapi selepas 10 tahun, ia masih kabur dan tidak jelas. Jadi, segala doa dan harapan yang ditulis dulu masih perlu disuarakan,” katanya.
Hal sama turut dirasakan Sara yang melihat peristiwa tersebut sebagai tragedi yang menyayat hati sesiapa sahaja yang mendengar berita itu.
“Ketika membaca berita kehilangan pesawat itu, saya hanya mampu membayangkan penderitaan ahli keluarga mangsa. Bagaimana mereka keliru dengan apa yang terjadi.
“Saya membayangkan mereka mengarang doa dan kata-kata rindu dalam kekaburan, tanpa tahu apa yang sebenarnya terjadi,” kata Sara.
Kapal terbang bernama harapan
Kesukaran berhadapan misteri yang penuh hiba sebegitu disampaikan dalam video muzik “dan bila” yang menampilkan bakat cilik, Isa Ahmad selain anggota motherwit dan Sara sendiri.
Watak Isa ditampilkan sebagai kanak-kanak sepi yang merindukan seseorang. Rasa rindu yang mendalam sangat sukar diproses, diwakili lambakan kapal terbang kertas berwarna hitam yang selalu ada di sekeliling Isa.
Namun, dalam lambakan warna hitam, Isa didatangi kapal terbang kertas putih yang mewakili harapan.
“Bagi kami, harapanlah yang menghidupkan rasa kita pada sesuatu yang tiada. Itu yang cuba disampaikan dalam video muzik ini,” kata Sahaq yang turut bertindak sebagai pengarah video muzik tersebut.
Bagi Sahaq, dirinya tidak akan dapat merasai walau secebis sengsara yang dialami ahli keluarga dan orang tersayang mangsa MH370, namun mereka cuba menyampaikan perasaan hiba yang dirasakan melalui bacaan dan tontonan tentang tragedi itu.
Video muzik “dan bila” telah dilancarkan di saluran Youtube motherwitnoise, semalam.