December 8, 2023

KEMAJUAN teknologi membawa bersama segala nikmat dan azabnya. Kehidupan dipermudah tetapi dunia menjadi semakin laju dan sempit, menekan hidup manusia pada tahap yang tak pernah disaksikan sepanjang zaman.

Itu antara kandungan lagu terbaharu kugiran rock alternatif dari Lembah Kelang, motherwit. Terbitan tunggal bertajuk TATAL itu meneroka sikap pengguna media sosial dan telefon pintar yang terperangkap dalam kitaran kebencian.

Menurut vokalis dan gitaris, Sahaq Ibrahim, lagu tersebut dihasilkan melalui pemerhatiannya terhadap sikap diri sendiri ketika menatal telefon bimbit.

“Ada masa kita marah lihat kandungan dalam media sosial. Orang bergaduh, berbahas tentang hal remeh tanpa penghujung. Ia menjengkelkan tetapi kita akan terus menatal.

“Kita seperti terperangkap dalam satu kitaran yang merosakkan. Mungkin cara terbaik adalah dengan meninggalkan media sosial tetapi ia bukan mudah kerana media sosial sudah jadi sebahagian daripada kehidupan. Kita perlukan media sosial untuk urusan sosial dan pekerjaan,” katanya.

Kata Sahaq, TATAL menggunakan struktur yang ringkas tetapi rumit pada bahagian instrumen.

Ia dipersetujui gitaris, Noh Zulazfar yang melihat TATAL sebagai antara trek paling kompleks pernah dihasilkan motherwit.

“Lirik lagu ini hanya enam baris dan korusnya instrumental. Walaupun nampak ringkas, kami meletakkan banyak lapis trek untuk mendapatkan suasana kalut dan kacau-bilau, sama seperti ketika kita menatal media sosial yang penuh kekalutan.

“Cabaran terbesar dalam lagu ini adalah mendapatkan adunan yang terbaik dan seimbang. Ia memakan masa dan tenaga tetapi akhirnya kami berjaya mendapatkan adunan yang paling sesuai hasil sentuhan juruadun, Hazeeq Azhar,” jelasnya.

Bagi pemain bass, Abdullah Azhman atau Paklah, lagu ini turut mencabar kemahiran komposisi mereka memandangkan secara asasnya, TATAL dihasilkan dengan struktur lagu pop.

Katanya, motherwit cuba mencabar struktur pop yang lazim digunakan dengan menyuntik elemen rock dan alternatif dalam susunan TATAL.

“Kami ambil ciri-ciri pop seperti pengulangan dan lirik yang ringkas dan mudah difahami, tetapi tidak meninggalkan identiti rock alternatif motherwit.

“Penerbitan lagu tunggal ini boleh dianggap sebagai eksperimentasi di pihak kami dan kami bercadang untuk mencuba lebih banyak perkara baharu selepas ini,” katanya.

Video lirik TATAL telahpun dilancarkan di saluran Youtube motherwitnoise pada 14 Oktober lalu. Lagu ini juga akan turut dilancarkan di platform digital dalam masa terdekat.