January 13, 2025

KUALA LUMPUR – Kumpulan rock Amerika yang ditubuhkan pada tahun 1988, Mr Big merasa bangga apabila mereka dapat mengadakan konsert di The Zepp, Kuala Lumpur sekaligus menjadikan negara ini sebagai destinasi terakhir dalam siri jelajah “The Big Finish” World Tour mereka sebelum kumpulan yang berasal dari Los Angeles ini “direhatkan” setelah lebih dari 35 tahun berada dalam industri muzik.

Vokalis Mr Big, Eric Martin yang mewakili seluruh band bersama pemain drum baru mereka Nick D’Virgilio, beberapa kali menzahirkan betapa mereka berbesar hati menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi terakhir dalam siri jelajah mereka ketika mengadakan persembahan pada 14 Ogos lalu.

Selain Eric Martin, kumpulan yang dianggotai oleh dua legendaris iaitu Billy Sheehan (bass), Paul Gilbert (gitar utama) telah memberikan suatu kepuasan yang jelas terpancar di wajah para peminat yang menghadiri konsert mereka. 

Meskipun tampil santai namun tetap energatik, vokalis Eric Martin membuka tirai persembahan  dengan lagu yang di petik dari album pertama mereka berjudul Addicted To That Rush yang jelas konsisten berterusan sepanjang persembahan mereka tanpa dipengaruhi faktor usia walau sedikit pun. 

Penganjur konsert, Shiraz Projects memberi ruang kepada Mr Big menghiburkan lebih 1500 peminat muzik Hard Rock/Glam Rock era 80an – 90an yang membesar dengan lagu – lagu mereka. Konsert berdurasi 2 jam itu turut membawakan lagu-lagu seperti Take Cover, Undertow, Alive and Kicking dan beberapa lagu dari album – album terawal mereka. 

Eric Martin mengejutkan penonton apabila beliau mengumumkan mereka tidak akan mainkan lagu-lagu berentak perlahan atau romantik. Penonton sepertinya kecewa dengan pengumuman tersebut namun apabila kelihatan krew Mr Big menukar gitar Paul Gilbert, penonton seakan mengetahui bahawa mereka akan mendendangkan lagu yang dinanti-nantikan oleh peminat. Pekikan penonton bergema apabila intro To Be With You dimainkan dan ternyata lagu ini sentiasa mekar di hati peminat Mr Big.

Begitu juga dengan lagu – lagu hits mereka seperti Just Take My Heart, Daddy, Brother, Lover, Little Boy yang dipetik dari album “Just Lean On It” masih memberikan impak kepada peminat tegar kumpulan ini yang turut menyanyikan bersama lagu – lagu tersebut dari mula hingga akhir. Sebagai info Mr Big menyampaikan kesemua lagu dalam album tersebut seperti Never Say Never, A Little Too Loose, Road To Ruin, Voodo Kiss, My Kinda Woman. 

Persembahan mereka juga diselang-selikan dengan aksi solo petikan gitar yang memukau dari Paul Gilbert yang memang sangat dinantikan oleh penonton yang hadir lebih – lebih lagi bagi para gitaris tempatan yang menjadikan beliau sebagai idola mereka, manakala Billy Sheehan pula memberikan satu kenyataan tegas bahawa bassis juga mampu melakukan aksi solo yang ternyata membuatkan mata – mata yang melihat tidak berkelip dan seakan tidak percaya ianya dilakukan menggunakan gitar bass yang hanya mempunya 4 tali. 

Dari segi teknikaliti, sistem bunyi yang menampilkan kualiti bertaraf 5 bintang, jelas kedengaran setiap note yang dimainkan oleh gitaris tersohor dunia Paul Gilbert mahupun getaran bass dari bassis unik lagi hebat Billy Sheehan. Dentuman menggegar jantung dari pemain drum Nick D’Virgilio juga tidak kurang hebatnya menyusun rentak persembahan pada malam itu. Persembahan pada malam itu juga dimandikan dengan tatarias pencahayaan pentas yang seimbang dengan kilauan lampu yang bergemerlapan.

Antara lagu – lagu lain yang mengisi hampir 2 jam persembahan mereka ialah Green Tinted Sixties Mind, Lucky This Time, Big Love, Promise Her The Moon dan Colorado Bulldog.

Secara keseluruhan, malam persembahan Mr. Big ialah satu malam yang meninggalkan momen indah yang akan berterusan dikenang sampai bila – bila. Terukir kepuasan di setiap wajah yang hadir, mereka yang masih terkesima seakan – akan tidak percaya Mr. Big telah melabuhkan tirai persembahan mereka. 

Terlalu berat untuk meninggalkan dewan yang menjadi saksi aksi gergasi Rock kegilaan ramai dahulu, kini dan selamanya. Ternyata ianya suatu pengalaman yang tidak ternilai dan tidak dapat diulang semula lebih – lebih lagi apabila ianya persembahan terakhir sebelum Mr. Big berundur diri dari persada muzik dunia. 

Untuk info sejak ditubuhkan, Mr Big sudah menghasilkan sembilan album studio. Tiga album terawal iaitu Mr Big pada 1989, Lean Into It (1991) dan Bump Ahead (1993) memiliki paling banyak lagu popular mereka sekali gus meletakkan Mr Big di puncak populariti.

Selain tiga album ini, Mr Big turut tampil dengan album Hey Man pada 1996, Get Over It (1999), Actual Size (2001), What If.(2011) dan .The Stories We Could Tell (2014).

(Kredit foto: shiraz projects)