MUAH! tampil dengan single pertama ‘BBF’, terajui irama pop rock tempatan

KUALA LUMPUR – Vokalis utama kumpulan ini tidak perlu diperkenalkan lagi kerana karyanya pernah meraih gelaran Anugerah Juara Lagu beberapa tahun lalu. Ya, Naim Daniel, bukanlah nama asing dalam industri muzik tempatan. Dari permulaan sebagai pelakon kanak-kanak, kini beliau mengukir nama sebagai penyanyi dan pencipta lagu berbakat. Terbaru, Naim tampil bersama kumpulan kugirannya sendiri yang dikenali sebagai MUAH!.

MUAH! merupakan sebuah kumpulan berpusat di Kuala Lumpur dan mengangkat genre pop rock sebagai teras muzik mereka. Naim Daniel menggalas tanggungjawab sebagai vokalis dan pemain gitar utama, bersama-sama Zenith (gitar), Tasneem (bass), Mairil (dram), dan Ayai (keyboard).

Sebagai buah tangan pertama di bawah naungan Sony Music Entertainment Malaysia, MUAH! mempersembahkan single terbaru mereka bertajuk ‘BBF’. Lagu ini mengisahkan konflik dalam perhubungan, menggambarkan seorang lelaki yang menghadapi dilema apabila kekasihnya mempunyai kawan lelaki lain yang cuba merebut hatinya.

“Lirik lagu ini ditulis dengan sangat mudah, menggunakan bahasa pasar supaya pendengar dapat memahami dan merasakan ia dekat dengan kehidupan harian mereka,” jelas Naim Daniel mengenai lagu tersebut.

Proses rakaman ‘BBF’ berjalan lancar kerana penerbit sudah memahami visi dan arah yang diinginkan oleh kumpulan ini. Mereka turut berkongsi bahawa banyak latihan dan sesi demo dilakukan sebelum rakaman sebenar dimulakan.

“Kami bertukar-tukar idea untuk memastikan hasil yang terbaik. Dari versi pertama hingga ke versi terakhir, setiap ahli kumpulan memahami peranan masing-masing sebelum sesi rakaman bermula,” kata Naim lagi.

Namun, cabaran tidak terlepas dalam proses ini. Penerbit mereka mengalami masalah pendengaran akibat kecederaan telinga selepas pulang dari penerbangan jauh. “Kami terpaksa saling membantu untuk memastikan proses rakaman tetap berjalan lancar,” tambahnya.

Kumpulan MUAH! berharap agar ‘BBF’ mendapat sambutan yang baik daripada pendengar tempatan dan luar negara. “Kami mahu lagu ini menembusi pasaran antarabangsa dan membawa nama muzik Malaysia ke pentas dunia,”kata mereka penuh optimis.

Single ‘BBF’ telah dilancarkan pada 20 September lalu dan boleh dinikmati di platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.