February 12, 2025

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara terkenal Nabila Huda bakal berkongsi dengan peminatnya resipi air tangan dihasilkannya sendiri antaranya Tuhau Dumplings dan Masak Lemak Putih Pucuk Midin dalam sebuah program travelog terbaharu menemui penonton RTM.

Dalam travelog diberi tajuk “Enak Di Borneo” itu, Nabila Huda disapa dengan panggilan Abil ini turut teruja berkongsi aktiviti penerokaan dan pencarian makanan tempatan terbaik yang dihasilkan dari seluruh Sarawak dan Sabah.

Abil akan mengembara di kawasan sekitar negeri dengan jolokan Negeri Di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang ini dengan berkongsi melakukan pelbagai aktiviti menarik dan mencabar diri.  

Antara aktiviti dicuba termasuklah meluncur di Sungai Batang Lupar, Sri Aman Sarawak. Seterusnya hinggalah ke aktiviti menunggang basikal di atas tali yang digantung diudara pada ketinggian 30 kaki.

Namun apa yang menarik dalam program ini adalah dimana di saat akhir, Abil akan menukar cara moden ke dalam masakannya dengan menggunakan makanan tempatan dan menghidangkan kepada penduduk setempat.

Bahan khas tempatan juga akan digunakan daripada buah-buahan, sayuran serta hinggalah ke makanan laut, semuanya akan dimasak dengan cara tradisional yang berbeza.

Ikuti apakah resipi dan cara memasak yang dikongsikan Abil dalam 13 episod program disiarkan bermula 24 Mei ini, setiap Jumaat, 11.00 pagi, di saluran Okey. Anda juga boleh mengikuti program dimana-mana jua secara percuma menerusi RTMKLIK.