KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon terkenal, Nabila Razali, 32, selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada 23 Disember 2024, tepat jam 10.01 malam di sebuah pusat perubatan di ibu kota.
Berita gembira itu disahkan oleh wakil pengurusan NabilaRazali Entertainment, yang memaklumkan bahawa ibu dan bayi seberat 3.1 kilogram itu berada dalam keadaan sihat.
Bayi tersebut merupakan cahaya mata sulung hasil perkahwinan Nabila dengan suaminya, Nik Iruwan, 39, yang berlangsung pada November tahun lalu.
Dalam kenyataan yang dikongsikan, Nabila, atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, meluahkan rasa syukur selepas selamat bersalin.
“Alhamdulillah, ini adalah hadiah yang paling bermakna dalam hidup saya. Setiap detik yang saya lalui untuk mencapai momen ini penuh dengan cabaran dan harapan, dan akhirnya, Allah kurniakan amanah ini buat saya dan suami.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang sudah mendoakan kesejahteraan saya serta memberikan sokongan tidak berbelah bahagi selama ini,” katanya dengan penuh rasa syukur dan terharu.
Media sosial Nabila turut dibanjiri ucapan tahniah dan doa daripada peminat serta rakan selebriti yang tidak ketinggalan memberikan sokongan kepada keluarga kecil tersebut.
Walaupun sibuk dengan kerjaya seni, Nabila kini memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga dan menyesuaikan diri dengan fasa baharu sebagai seorang ibu.
Pasangan ini melangsungkan perkahwinan pada 18 November 2023 dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup.