KUALA LUMPUR – Nama Nadeera terus menjadi bualan hangat selepas persembahan luar biasanya di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39). Meskipun hanya meraih gelaran naib juara, vokal memukau dan persembahan penuh emosi penyanyi berbakat ini berjaya mencuri perhatian peminat serta pemerhati industri muzik tempatan.
No.1 di Semua Platform Utama
Sejurus selepas AJL39, lagu Bukan Lagi Kita nyanyian Nadeera mencipta kejayaan luar biasa apabila menduduki tangga pertama di pelbagai platform penstriman utama termasuk Spotify Malaysia, Apple Music Malaysia, YouTube Music Malaysia, serta menjadi lagu paling banyak dimuat turun di iTunes Music Malaysia. Kejayaan ini menyaksikan Nadeera mengatasi bukan sahaja lagu-lagu tempatan, malah turut mengungguli carta mengatasi lagu-lagu antarabangsa.
Lebih membanggakan, Bukan Lagi Kita kini tersenarai sebagai salah satu daripada tiga lagu artis Malaysia yang pernah mencapai tempat pertama di carta Spotify Malaysia Daily Top Song, bersama-sama lagu Hasrat nyanyian Amir Jahari dan Suasana di Hari Raya oleh Anuar & Ellina.

Selain itu, muzik video rasmi Bukan Lagi Kita, yang turut menjadi lagu tema drama popular Curang Tanpa Niat, telah mencatat lebih 5 juta tontonan di YouTube, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Nadeera sebagai antara artis paling laris di pasaran digital masa kini.
Penghargaan Buat Peminat
Ketika ditemui, Nadeera tidak menyembunyikan rasa syukur atas pencapaian dan sokongan luar biasa yang diterimanya.
“Saya sangat bersyukur dengan sokongan yang luar biasa ini. Impian saya untuk berada di pentas AJL sejak dulu lagi akhirnya termakbul. Sewaktu saya berdiri di pentas AJL39, saya hanya mahu menyampaikan lagu ini dengan sepenuh hati. Melihat reaksi positif daripada semua orang adalah sesuatu yang sangat bermakna buat saya. Ini hanyalah permulaan, dan saya akan terus bekerja keras untuk memberikan yang terbaik buat peminat semua,” katanya.
Masa Depan Yang Cerah
Pencapaian ini menjadi bukti bakat dan kerja keras Nadeera kini diiktiraf bukan sahaja di pentas pertandingan, tetapi turut mendapat sokongan padu daripada peminat yang setia mengikuti perjalanan seninya. Fenomena ini juga menjadi inspirasi kepada generasi baharu penyanyi tempatan untuk terus berusaha menempatkan diri dalam industri muzik yang kompetitif.
Untuk maklumat lanjut mengenai perkembangan terkini Nadeera, ikuti akaun rasmi beliau di platform media sosial dan digital.