Nadeera dan Hael Husaini melangkah ke AJL39 dan persada antarabangsa

KUALA LUMPUR – Dua bintang terkemuka di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, Nadeera Zaini dan Hael Husaini, mencipta sejarah peribadi apabila berjaya melayakkan diri ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39). Kejayaan ini mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara artis yang disegani dalam industri muzik tanah air.

Dalam nada sebak dan penuh emosi, Nadeera meluahkan rasa syukur atas pencapaian tersebut. “Saya sangat terharu kerana ini adalah kali pertama saya layak ke pusingan separuh akhir dan berjaya mara ke pentas AJL39. Untuk sampai ke tahap ini bukanlah mudah, hanya mereka yang bersama saya memahami betapa sukarnya perjalanan ini,” ujarnya dengan air mata kegembiraan.

Lagu Bukan Lagi Kita, hasil ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh, menjadi tiket bagi Nadeera untuk meraih impian tampil di AJL setelah lebih sedekad menanti.

“Tahun ini rezeki menyebelahi saya. Saya tidak meletakkan harapan tinggi, cukup bersyukur dengan peluang ini. Menang atau kalah, saya reda,” tambahnya lagi.

Hael Husaini, yang bukan asing di pentas AJL, turut berkongsi rasa gembira apabila dua karyanya, Diam dan Bukan Lagi Kita, berjaya mara ke pentas berprestij itu.

“Kali ini, saya membawa lagu Diam, yang berbeza daripada karya-karya saya sebelum ini. Saya juga bangga dengan pencapaian Nadeera, kerana beliau benar-benar layak berada di sini,” katanya.

Biarpun pernah menjuarai AJL32 dan AJL33, Hael mengakui masih merasakan debaran setiap kali bertanding.

“Perasaan gementar itu tetap ada. Saya hanya berharap dapat memberikan yang terbaik. Nantikan kejutan di pentas AJL39 nanti,” ujarnya penuh semangat.

Terbang ke persada antarabangsa

Selain AJL39, Nadeera dan Hael bakal mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa apabila mereka dijadualkan tampil di 29th Asian Television Awards (ATA29) di Jakarta, Indonesia, pada 29 dan 30 November 2024.

Acara berprestij ini menyaksikan Nadeera dan Hael sebagai satu-satunya wakil artis Malaysia yang terpilih untuk membuat persembahan, di samping tercalon dalam kategori Most Popular Solo Male Performer (Hael Husaini) dan Most Popular Solo Female Performer (Nadeera Zaini).

“Ini adalah penghormatan besar buat kami berdua untuk mewakili negara. Acara ini akan disaksikan oleh penonton dari seluruh Asia, termasuk Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, dan Filipina,” kata Hael dengan penuh rasa bangga.

Antara nama besar yang turut memeriahkan acara ini ialah Luna Maya, Raffi Ahmad, Lesti Kejora, dan Putri Ariani. Penampilan Nadeera dan Hael di pentas ATA29 diyakini mampu mempromosikan bakat Malaysia di mata dunia.

Ikuti perkembangan lanjut dua bintang tanah air ini menerusi platform digital Rocketfuel Entertainment.