January 13, 2025

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lagu dari Indonesia, Nadin Amizah mengotakan janji apabila berjaya menghiburkan 2,000 peminat yang menyaksikan persembahannya di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi.

Nadin, 23, melahirkan perasaan terujanya apabila dapat beraksi di hadapan para peminatnya menerusi Konsert Selamat Ulang Tahun dan Kisah Lainnya oleh Nadin Amizah yang berlangsung tepat jam 8 malam dengan lagu Sebuah Tarian Yang Tak Kunjung Selesai.

Nadin teruja apabila dapat beraksi di hadapan para peminatnya

Bersama pemuzik pengiring, Nadin menyampaikan sebanyak 18 lagu dengan membahagikan persembahan kepada dua segmen. Dengan sistem pencahayaan yang lebih mendamaikan serta ‘redup’ membuat penonton turut serta menyanyi bersama Nadin.

Penonton masih menanti dengan sabar dua lagu ‘hits’ beliau Bertaut dan Tumpang pada malam tadi, kedengaran intro dua lagu itu, sorai dari penonton membuatkan mereka turut sama menyanyi mengiringi nyanyian Nadin.

Bersama pemuzik pengiring, Nadin menyampaikan sebanyak 18 lagu

Terdahulu Nadin menerusi sidang media di sebuah hotel Jumaat lalu menjelaskan konsert ini berkonsepkan gabungan semi teater dan muzikal.

“Konsert aku di Jakarta lalu, teaternya lebih berat tetapi di sini lebih ringan, lalu aku juga akan bawakan satu babak tambahan menerusi EP Kalah bertaruh, Selamat Ulang Tahun dan beberapa lagu lain,” Katanya.

Persembahan berbentuk teater muzikal dengan dibantu oleh penari dan pelakon tambahan

Ternyata di segmen kedua, Nadin memberikan satu persembahan berbentuk teater muzikal dengan dibantu oleh penari dan pelakon tambahan untuk memberi ‘mood’ lagu-lagu yang disampaikan oleh Nadin.

Dalam konsert yang berlangsung selama dua jam ini, Nadin turut menyampaikan lagu-lagu popularnya seperti Hormat Kepada Angin, Beranjak Dewasa, Bertaut, Taruh dan Sorak Sorak.

Persembahan Nadin yang mencairkan emosi peminat
Tertunai hasrat Nadin untuk mengadakan konsert di Malaysia

Ribuan penonton yang hadir ke konsert Nadin