September 10, 2024
antara pilihan siti elizad

KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) meraikan sambutan Hari Ibu dengan tayangan sebuah drama terbitan Unit Drama TV RTM bertajuk “Antara Pilihan”. Mengangkat tema kekeluargaan, drama Khas Hari Ibu bakal menemui penonton menerusi slot Panggung RTM pada 11 Mei ini, pukul 9.00 malam di TV1. 

Membariskan pelakon wanita Siti Elizad bersama pelakon kanak-kanak Puteri Rafasya, drama arahan Muhammad Ikhsan Sukiman ini turut dibantu Aidil Aziz, Qi Razali, Amyza Aznan, Shyrim, Jaja Elias, Nu’man, Ainina Ahmad dan adik Adriana Qasmia yang membawa mesej sarat pengajaran dan kasih sayang. 

Siti Elizad

Drama ini mengisahkan tentang kehidupan Hani yang memilih untuk tinggal jauh dari keluarga bagi membesarkan anak angkatnya yang bernama Cinta. Cinta, wujud hasil hubungan terlarang antara abang Hani, Nazar dan seorang pelajar praktikal di firma arkitek milik arwah Zaid, iaitu bapa kepada Nazar dan Hani. 

Namun identiti Cinta itu dirahsiakan Hani dari ahli keluarganya dan ia dijadikan bahan untuk mengugut Nazar agar memberikan hak Hani di dalam syarikat, juga kebebasan untuk hidup jauh dari kongkongan Nazar dan Marlina.

Hani yang cuba membantu Shila melalui rumah perlindungan milik bekas gurunya, Cikgu Maznah terpaksa akur apabila Shila secara tiba-tiba menghilangkan diri. 

Atas rasa tanggungjawab, Hani meminta Cikgu Maznah untuk membantunya untuk mengambil Cinta sebagai anak angkat. Bermulalah episod Hani berjuang mendapatkan hak penjagaan, juga haknya untuk menjalani hidup sendiri bersama bayi tersebut tanpa kongkongan dari Marlina dan Nazar.

Ketika majlis sambutan hari jadi Cinta, Marlina dan Nazar datang dengan tujuan untuk menuntut hak dan juga harta yang telah diperoleh Hani sebelum ini. Hani yang sudah tidak kisah tentang harta peninggalan Zaid itu meminta agar ibu dan abangnya bersabar, namun tidak diendahkan.

Berlaku pertengkaran dan Malik yang turut berada di situ ikut campur tangan. Maka terbongkarlah segala kisah mengenai status Malik sebagai anak sulung Marlina dan status Nazar sebagai anak tidak sah taraf yang dijaga oleh Zaid selama ini. Kekesalan terbesar dirasai oleh Marlina, ibu kepada Malik, Nazar dan Hani kerana pada akhirnya dia gagal untuk mempertahankan tindakan yang dirasakannya benar sebelum ini iaitu meninggalkan Malik untuk mengelakkan anaknya sulungnya itu malu mempunyai ibu sepertinya yang mempunyai anak tidak sah taraf, Nazar. 

Selain menerusi saluran TV1, anda juga boleh menonton tayangan telefilem khas ini menerusi RTMKlik.