Naqiu pertaruh Khayalan, hasil sentuhan istimewa Ajai

KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan remaja terkenal era 2000-an, Boboy, Wan Naqiuddin Mohd Najib atau lebih dikenali sebagai Naqiu, 38, meluahkan rasa syukur dan teruja apabila berpeluang menyanyikan lagu ciptaan komposer tersohor, Ajai. Lagu bertajuk Khayalan ini dianggap sebagai satu penghormatan besar buat dirinya.

Menurut Naqiu, Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas merupakan idola dan inspirasinya dalam dunia muzik sejak dahulu lagi. Tawaran untuk menyanyikan karya idolanya itu disifatkan seperti “orang mengantuk disorongkan bantal.”

Lagu balada Khayalan yang turut mendapat sentuhan lirik oleh Wit Mohsen dan susunan muzik oleh Sharon Paul menceritakan kisah seorang lelaki yang tenggelam dalam lamunan cinta serta mencari kasih sayang yang tidak pasti. Lebih menarik, lagu ini turut menyelitkan elemen melodi bersahaja yang relevan dengan trend semasa, sekali gus mesra platform seperti TikTok untuk menarik perhatian generasi muda.

“Cabaran Penyanyi Lama Kekal Relevan”

Sebagai juara Gegar Vaganza musim keenam dan finalis Gegar Vaganza All Star, Naqiu mengakui perjalanan untuk kekal relevan bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi bagi penyanyi yang pernah mencipta nama lebih dua dekad lalu.

“Sejujurnya, bagi penyanyi atau vokalis kumpulan remaja popular seperti saya, sukar untuk mencari lagu yang mampu memberikan impak besar seperti Episod Cinta ketika saya berusia 15 tahun. Itu fenomena yang sukar diulang.

“Jenama Boboy begitu sinonim dengan melodi leleh, imej budak sekolah, dan lagu cinta monyet. Jadi, agak sukar untuk peminat menerima perubahan saya ke arah genre muzik yang lebih matang. Namun, saya anggap ini sebagai cabaran dan peluang untuk mencipta karya yang mampu diterima pelbagai generasi,” katanya.

Sejak membuat kemunculan semula, Naqiu telah mengeluarkan tujuh single termasuk Sinar Kedua (2020), Masih Ada (2021), Rindu Separuh Nyawa (duet bersama Vanessa, 2021), Kisah Hati Lara (2022), Tetap Bersama (2022), Panah (2023) dan Maki (2024). Walaupun belum mencapai impak seperti yang diharapkan, Naqiu tidak pernah berputus asa dan sentiasa bereksperimen dengan muziknya.

Harapan Khayalan

Bercerita tentang single terbaharunya ini, Naqiu berharap Khayalan mampu membuka perspektif baharu buat peminat muzik tempatan dan memberi nafas segar dalam perjalanan kariernya.

“Saya percaya dengan hasil karya Ajai yang sememangnya sudah terbukti sebagai komposer yang melahirkan banyak lagu hebat. Khayalan diharap dapat menarik perhatian stesen radio dan menjadi kegemaran pendengar,” katanya.

Lagu Khayalan diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) Muzik dan diedarkan oleh Indigital Music. Naqiu percaya, kolaborasi dengan Ajai akan menjadi satu batu loncatan untuk kembali mencipta nama dalam industri muzik tanah air.

Buat peminat setia Boboy dan Naqiu, Khayalan bakal menemui mereka tidak lama lagi di platform digital. Adakah lagu ini akan menjadi penanda aras baharu dalam kerjaya Naqiu? Sama-sama kita nantikan.