
Mula bernyanyi ketika berusia 5 tahun, penyanyi cilik berasal dari Negeri Kedah, Nayla Ruzzara Binti Mohamad Hairi atau lebih disenangi dengan panggilan Nayla telah meluncurkan single lagu terbaharunya berjudul Sandiwaramu berkonsepkan genre pop balada. Nayla yang kini berusia 9 tahun sangat meminati genre Pop, Balada dan Dangdut dan mempunyai kebolehan menyanyikan lagu dangdut dengan baik.
Bakat Nayla mula dikesan oleh komposer Rizz Edisi semenjak dia dikenali apabila salah satu video nyanyian Nayla viral di Tiktok dan meraih hampir 1 juta tontonan.

Semenjak kecil lagi Nayla telah didedahkan dengan acara berkaitan dengan muzik disebabkan ibu bapa beliau merupakan pengacara atau emcee untuk majlis-majlis perkahwinan dan seumpanya. Setiap kali mengikuti ibunya menjalani latihan pertandingan, Nayla sering kali mendengar lagu-lagu yang dibawakan oleh ibunya sendiri dan beliau begitu antusias untuk menyanyikan semula lagu-lagu tersebut.
Nayla yang kini tinggal di Kota Tinggi, Johor telah menjadikan Damia sebagai inspirasinya. Nayla seringkali telah menyanyikan semula koleksi-koleksi lagu Damia dan juga artis-artis lama yang lain. Dengan kelebihan yang ada padanya, maka terhasilah lagu Sandiwaramu hasil ciptaan Rizz Edisi dan Zam meletop yang hanya mengambil masa 1 hari sahaja untuk sesi rakaman suara.

Sandiwaramu telah pun dihasilkan di K Seventh Studio, Kota Bharu Kelantan pada Oktober tahun lalu dan ini telah menjadi satu cabaran buat Nayla kerana beliau harus mengambil masa perjalanan hingga 12 jam untuk sampai ke sana.
Diterbitkan oleh Muzik Dua Karya, Sandiwaramu kini telah mendapat sambutan yang positif dari pendengar dan peminat Malaysia mahupun Indonesia. Pihak syarikat rakaman juga mengharapkan agar bakat Nayla semakin berkembang dan akan diterima ramai serta bakal menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi.
Untuk info, Nayla pernah menyertai beberapa pertandingan nyanyian terbuka yang melibatkan peserta-peserta dewasa. Nayla beberapa kali pernah memenangi pelbagai pertandingan nyanyian di daerahnya dan juga pernah mewakili sekolahnya dalam pertandingan nyanyian solo anjuran Kementerian Pendidikan Kota Tinggi.
Lagu Sandiwaramu telah pun berada di semua platform digital manakala video muzik boleh ditonton di saluran Youtube Muzik Dua Karya Official.