June 13, 2024

KUALA LUMPUR : Baharu sahaja melabuhkan tirai ‘Raisa Live In Malaysia’, jenama penganjur acara disegani, Hitman Solutions kembali membawakan hiburan berterusan demi memenuhi selera penggemar konsert yang dahagakan persembahan ‘live’. Kali ini mereka beralih ke negara barat pula dengan membawakan ‘NE-YO Live In Malaysia’ yang bakal berlangsung pada tahun hadapan, 21 Januari 2023, bermula jam 8.00 malam eksklusif di Dewan Plenary KLCC.

Menurut Encik Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, “Menakjubkan! Itu di antara komen-komen yang dilontarkan oleh pengunjung yang hadir menonton konsert ‘Raisa Live In Malaysia’ tempoh hari, ramai mengatakan yang mereka masih belum bisa ‘move on’ dari persembahan memukau Raisa dan penantian selama 12 tahun mereka akhirnya berbaloi.

“Walaubagaimanapun, mereka berharap agar Raisa segera kembali ke Malaysia dengan persembahan yang lebih baik lagi dan lokasi yang lebih besar.”

Ne-Yo bakal mengadakan konsert di Malaysia Januari depan

Kini, Hitman Solutions terbang jauh ke Amerika Syarikat pula untuk membawakan hiburan oleh bintang ternama yang pernah memenangi pelbagai anugerah dan pengiktirafan bertaraf global iaitu Ne-Yo dalam sebuah konsert yang ditunggu-tunggu peminat muzik pop R&B.

“Kita semua membesar dengan lagu-lagu nyanyian Ne-Yo yang begitu dekat di hati serta gerak tarinya yang mengasyikkan dan kini, apabila beliau aktif mengadakan siri jelajah konsert, kami tidak mahu melepaskan peluang ini untuk membawa Ne-Yo ke sini setelah konsert terakhirnya di Sunway Lagoon Surf Beach kira-kira 12 tahun yang lalu.

Pada konsert itu nanti, kami berharap mereka yang lahir pada 90-an dan 2000 akan hadir kerana Ne-Yo merupakan salah satu artis paling ‘top’ ketika itu.

Kami juga yakin malam konsert itu nanti akan mengimbau kembali kenangan zaman remaja dan membangkitkan emosi penonton melalui nyanyian lagu-lagu ‘soul’ yang menggamit perasaan dan sinonim dengan Ne-Yo,” kata Encik Rohit Rampal.

Bagi mereka yang berminat untuk membeli tiket konsert ‘NE-YO Live In Malaysia’, tiket-tiket telah mula dijual semalam, 5 Disember 2022. Tiket-tiket terbahagi kepada 4 kategori utama, VIP (RM988), Diamond (RM688), Platinum (RM488) serta Gold (RM288). Pembelian boleh dilakukan di laman web rasmi www.hitmanlive.com.

Untuk sebarang pertanyaan berhubung konsert tersebut, sila hubungi Encik Keeran D. (Hitman Solutions) di talian 012-887 0669.