
PUTRAJAYA – Lembaran Yadim Sdn.Bhd (LYSB) melalui kerjasama strategik bersama syarikat Nunha Co. telah melancarkan produk minuman kesihatan ‘Sharob Drink’ di sini, semalam. Lembaran Yadim Sdn. Bhd merupakan anak syarikat kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang menguruskan dan menjalankan beberapa buah perniagaan. Manakala Nunha Co. adalah sebuah syarikat yang diasaskan pasangan selebriti Haris Ismail dan Neelofa yang mengeluarkan produk pakaian, kesihatan dan kecantikan.
Kerjasama ini merupakan satu langkah strategik bagi kedua-dua pihak untuk mengembangkan lagi cabang periagaan khususnya dalam memasarkan produk minuman ‘Sharob Drink’ ini kepada sasaran pelanggan yang lebih luas.

Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Nunha Co. Haris Ismail atau PU Riz dan isterinya Neelofa gembira apabila ‘dipinang’ oleh YADIM untuk kerjasama dalam pengeluaran produk minuman Sharob ini.
“Bila pihak YADIM beritahu nak kerjasama saya happy, jadi kita nak tahu kenapa? Sebenarnya Dr. Adi dan beberapa yang lain berminat nak jalinkan kerjasama dengan kita, kami begitu amat berbesar hati.
“ini juga peluang untuk bekerjasama dengan YADIM dan mereka yang terlibat ini pun banyak daripada agensi kerajaan untuk sama-sama be part of Nunha.Co, kira dalam satu dunia bisnes, kita kata ni groove yang agak lain daripada biasa yang kita buat dan ini begitu memudahkan,” ujar Haris.

Dengan pelancaran produk minuman Sharob ini juga, Pengerusi Lembaran Yadim Sdn.Bhd., Prof. Madya Dr. Adi Anuar Bin Azmin menzahirkan harapan yang besar agar kerjasama strategik di antara LYSB dan Nunha Co. akan terus maju jaya dan akan membuka peluang perniagaan bersama yang lain di masa akan datang.

“Kebiasaannya kita melihat peranan dakwah ini yang dimainkan oleh Yayasan Dakwah Islam Malaysia, tetapi dakwah ini luas untuk merealisasikannya. Salah satu cabang yang besar ialah dengan perniagaan. Tetapi dalam konteks perniagaan, kita memilih untuk bekerjasama dengan YADIM ini mestilah mereka yang ada imej ada reputasi.
“Ada keinginan untuk melestarikan dakwah dalam negara dan saya yakin dengan pasangan sejoli ini, Ustaz Haris dan juga Puan Neelofa akan merancakkan lagi dakwah dalam negara. Di samping itu, perniagaan untuk menjana ekonomi bukan sahaja ahli-ahli biasa, korporat tetapi seluruh mereka yang berminat untuk menjalankan perniagaan.” Kata Dr. Adi.


Begitu juga dengan Pengurus Besar Lembaran Yadim Sdn.Bhd, Megat Hamzani Bin Megat Hamidi, beliau sangat yakin dan positif bahawa produk minuman Sharob ini boleh menembusi pasaran yang luas dan juga mencapai target sasar yang dikehendaki kedua-dua pihak LYSB dan juga Nunha Co.
Sementara itu, majlis pelancaran produk minuman Sharob telah dirasmikan oleh Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBrs. Dr. Muhamad Razak Bin Idris di Kompleks Islam Putrajaya. Pemilihan lokasi pelancaran di YADIM adalah bersesuaian kerana bahan utama kandungan ramuan ‘Sharob Drink’ ini adalah daripada makanan Sunnah seperti Kurma, Kismis, Prun, Saffron dan juga beberapa bahan yang lain seperti Multivitamin, Vitamin B kompleks, Astaxanthin, Daun zaitun dan sebagainya.


Selain daripada kandungannya yang memang berkhasiat, ianya juga boleh membantu diet individu kerana dengan pengambilan minuman Sharob ini, ianya boleh memberi rasa kenyang dan juga bertenaga.