March 21, 2025

Warning: sprintf(): Too few arguments in /home/darulmul/public_html/kelkatutv.com/wp-content/themes/chromenews/lib/breadcrumb-trail/inc/breadcrumbs.php on line 253

KUALA LUMPUR : Dua pengarah kelahiran Malaysia muncul dengan filem mereka di platform Netflix. Feisal Azizuddin, pengarah baharu yang perlu diberi perhatian muncul dengan filem bertajuk Ceroboh yang mengetengahkan genre thriller. Filem yang berdurasi 88 minit tersebut dibawakan oleh Kuman Pictures. 

Manakala sutradara kebanggaan Malaysia, James Lee pula muncul dengan filem Kill Fist yang menketengahkan genre thriller dan aksi. 

Filem Ceroboh (The Screaming Sky) berkisarkan suasana dalam pasca apokalips di mana dunia telah dilanda makhluk asing (alien) bergelar Penunggu Langit yang mampu mengawal otak manusia. Enam sahabat  berteduh di sebuah bangunan terbiar dan cuba meneruskan kehidupan. 

Namun salah seorang mereka terdedah kepada puak aliens dan perasaan curiga di rumah itu membawa kepada ancaman yang tersendiri. Sungguh mendebarkan dan khalayak akan terus teruja untuk melihat kesudahan yang terjadi dalam filem ini dari satu adegan ke adegan yang lain.

Filem yang dinukilkan oleh Chong Keng Fatt ini menampilkan Mia Sara Shauki, Kent Tan, Grace Ng, Nia Atasha, Syazani Fikry, Sasidaran dan Charles Roberts sebagai pelakon. 

Salah satu adegan dalam filem Ceroboh arahan Feisal Azizuddin

Manakala Kill Fist pula berkisarkan tentang Zhang seorang wakil penjual insurans yang berada di ambang perceraian dan kehilangan hak penjagaan anak perempuannya selain itu dia perlu menjaga bapanya yang menghidap Alzheimer. Untuk memenuhi keperluan kewangannya, dia telah direkrut ke dalam permainan pertarungan bawah tanah.

Zhang mahir dalam permainan tersebut dan ini mengembalikan nalurinya ketika dia masih muda. Tanpa diketahui Zhang, ia adalah persediaan oleh salah seorang anak perempuan mangsa Zhang, Jean. Jean menyaksikan bapanya dipukul dengan kejam oleh Zhang dan samsengnya 15 tahun lalu. Jean mencipta sebuah permainan untuk meletakkan semua penjahat bersama-sama dan meminta mereka untuk melawan satu sama lain sebagai bentuk hukuman yang muktamad.

Filem arahan pengarah terkenal kelahiran Perak, Malaysia iaitu James Lee ini mendapat sentuhan Tan Teck Zee di aspek sinematografi.

Malah filem yang turut mendapat sentuhan lakon layar penulisan skrip oleh James Lee sendiri dilakonkan oleh pelakon-pelakon hebat seperti Sunny Pang, Alan Yun, Koe Yeet, Mike Chuah dan Pearlly Chua.

Filem dengan durasi 97 minit ini akan menyaksikan lakonan Sunny Pang yang merupakan pelakon aksi yang terkenal dengan peranannya dalam Headshot dan pelbagai filem aksi serantau. Filem Kill-Fist dikatakan filem aksi indie yang memberi penghormatan kepada aksi seni mempertahankan diri tahun 80-an.

Salah satu adegan dalam filem Kill Fist arahan James Lee

Menurut James Lee dalam satu temuramah mengenai Kill Fist, katanya ,” “Ia adalah sebuah idea untuk membuat filem aksi seni mempertahankan diri yang tidak masuk akal, seperti filem pada tahun 80-an dengan tajuk seperti ‘Kill And Kill Again’. Saya memberikan tumpuan kepada watak dalam keluarga dan saya mendapat inspirasi untuk menulis dan mencipta cerita yang ‘menghalalkan’ aksi tersebut dan bukannya sekadar membawa aksi hanya untuk tindakan. Bila kedua-duanya wujud,cerita itu akan memainkan peranan penting dalam filem itu.”

Menurut James Lee lagi, halangan terbesar dalam filem ini ialah  adegan pergaduhan dan aksi berjumlah kira-kira sepuluh babak, dengan Sunny sendiri melakonkan lapan daripadanya. Ia benar-benar penggambaran yang mencabar untuk produksi mereka. 

“Kami berlatih dan bertemu setiap hari Sabtu untuk membuat koreografi dengan pasukannya. Ia benar-benar usaha indie.”tambah James. 

Jangan lupa saksikan hasil karya anak tempatan di platform Netflix dan pastinya hasil tangan mereka sentiasa membanggakan negara bersempena dengan bulan Merdeka yang kita raikan.  

Filem Ceroboh dan Kill Fist diedarkan oleh MyContent Distribution. MyContent Distribution juga membantu industri pembikinan filem tempatan dalam memperkasakan nilai pengedaran antarabangsa dan pengeluaran kandungan Malaysia dengan mengedarkan kandungan tempatan pada penstriman global.