March 2, 2024

Universal Music Malaysia berbangga mengumumkan bahawa album pertama kumpulan DOLLA di bawah label tersebut yang dinamakan ‘New Classic’ telah dilancarkan secara digital. Dihasilkan oleh produser tempatan dan antarabangsa yang amat disegani di rantau ini seperti Hyuk Shin dari Korea Selatan, album tersebut mengandungi tujuh lagu lima lagu baru dan dua lagu yang telahpun dilancarkan terlebih dahulu yang menggabungkan pelbagai genre dari Dance-Pop ke R&B. Dari lagu-lagu berentak rancak sehinggalah irama mid-tempo dan soul, ia benar- benar mengetengahkan bakat muzikal serta versatiliti setiap anggota DOLLA.

Dianggotai oleh Angel, Sabronzo, Syasya dan Tabby, DOLLA mula menggegarkan industri muzik Malaysia pada tahun 2020 dengan single mereka yang pertama, ‘DOLLA Make You Wanna’, dan terus mewarnai persada muzik negara sehingga kini. Dikenali dengan gaya yang dinamik, amat bercita-cita tinggi serta berani menampilkan ekspresi yang berlainan, bukan sahaja dari segi muzik malah penampilan, DOLLA benar-benar mewakili elemen serta karakter generasi masa kini. Setakat ini, kumpulan tersebut telahpun melancarkan tujuh single solo dan lima lagu kolaborasi bersama artis lain yang telah berjaya menawan perhatian peminat muzik negara dan mengumpulkan pengikut platform media sosial kumpulan tersebut dari serata dunia.

Album ‘New Classic’ ini juga bakal mendefinisikan semula intipati lagu yang dianggap evergreen dengan membawa kewibawaan yang baru, perspektif muzik DOLLA yang lebih segar serta naratif penerapan keyakinan tinggi dalam diri setiap individu, menjurus kepada kekuatan wanita. Menurut Tabby, ‘New Classic’ bukan sahaja sebuah album yang menghiburkan malah ia sarat dengan mesej penting. Jelas Tabby, “Generasi masa kini mempunyai tanggungjawab untuk menghasilkan karya-karya ‘evergreen’ untuk masa hadapan. Sebagai wakil artis dari generasi ini, kami sedaya upaya cuba untuk menggalas misi ini dan bekerja keras agar dapat menghasilkan lagu-lagu yang akan terus diminati dan menjadi inspirasi generasi selepas kami”.

Dia menambah, “Proses penghasilan album ini mengambil masa lebih kurang setahun. Saya amat berbangga untuk menyatakan bahawa DOLLA sebagai kumpulan terlibat secara aktif dalam setiap proses kreatif penghasilan album ‘New Classic’. Contohnya, lagu ‘drip’ merupakan lagu pertama menyaksikan kumpulan DOLLA menulis lirik dan menggubah melodi. Kami bekerjasama dengan begitu ramai penulis dan produser yang amat dihormati di dalam industri ini. Walaupun mempunyai kredibiliti yang hebat, kami begitu berbangga dan terharu kerana mereka mengizinkan DOLLA untuk membuat beberapa perubahan dalam lagu-lagu hasil nukilan mereka, menjadikannya lebih bercirikan DOLLA, dan sudah tentu ia menjadi amat ‘personal’ bagi kami”.

Syasya, anggota termuda DOLLA, turut menjelaskan, “Proses rakaman album ini agak mencabar kerana setiap lagu amat berlainan di antara satu sama lain, dan secara individu, ia punyai ‘vibe’ yang berbeza. Namun kami amat bersyukur atas bimbingan serta tunjuk ajar yang kami terima dari semua yang terlibat dalam pembikinan album ini”.

Tujuh lagu yang terkandung dalam album ‘New Classic’ adalah ‘CLASSIC’, ‘DAMELO’, ‘MASA’, ‘drip’, ‘best side’, ‘BO$$ UP’ dan ‘DAMELO’ (versi Bahasa Inggeris)’. Lagu utama iaitu ‘CLASSIC’ serta ‘BO$$ UP’ diterbitkan oleh Hyuk Shin, seorang produser album dan penulis lagu dari Korea Selatan yang amat tersohor di kalangan artis ‘A-list’ di dunia. Dia pernah berkolaborasi dengan bintang-bintang bertaraf superstar seperti Justin Bieber, Anderson Paak, Blackbear, Dean, NCT, Super Junior, TXT, Exo, Monsta X, Shinee, Girls’ Generation dan ramai lagi. ‘CLASSIC’ sebagai title track bagaikan merumus keseluruhan album dengan rentak dan lirik yang pasti menjadi siulan ramai terutamanya anak-anak muda. Lebih-lebih lagi dengan mesej positif pemerkasaan diri yang terkandung di dalamnya, ‘CLASSIC’ tentunya lagu yang bakal menjadi malar segar dan kekal relevan sepanjang zaman. Muzik video bagi lagu ‘CLASSIC’ yang turut dilancarkan hari ini di platform YouTube difilemkan secara keseluruhan di Thailand. Justeru, ia tentunya memerlukan keempat- empat anggota DOLLA diterbangkan ke Thailand dan bekerjasama dengan tenaga produksi dan kru filem profesional dari negara tersebut.

Apabila ditanya tentang lagu ‘CLASSIC’, Angel seakan mengakui bahawa lagu tersebut mungkin salah satu diantara lagu kegemarannya dari album ‘New Classic’. Menurut Angel, “‘CLASSIC’ seakan menggambarkan DOLLA pada masa kini dan hala tuju kami di dalam industri muzik. Bukan sahaja dari faktor lirik yang amat dominan serta bersemangat, ia juga merupakan lagu pertama dari DOLLA dengan korus ‘anti-drop’ dan bahagian ‘bridge’ yang ceria. Ia berlainan sekali dengan lagu-lagu DOLLA sebelum ini. Kami juga sangat teruja untuk mempersembahkan muzik video bagi lagu ‘CLASSIC’ di mana pembikinannya dibuat di Thailand bersama ‘team’ produksi yang begitu efisyen. Sememangnya ia satu pengalaman yang baru bagi kami dan secara positif, ia adalah pendedahan yang amat bermakna bagi DOLLA”.

Juga terkandung di dalam album pertama DOLLA ini, adalah lagu ‘DAMELO’ yang baru sahaja dilancarkan. Hasil nukilan dan terbitan Hard Lights, ia membawa maksud ‘Berikan kepadaku’ atau ‘Give it to me’ dalam bahasa Sepanyol. Diinspirasikan dari rentak techno-Latin yang amat popular pada masa kini, mesej kekuatan wanita amat jelas di dalam lagu ini. Sebaik sahaja dilancarkan, ‘Damelo’ terus sahaja trending di pelbagai senarai serta carta dan diangkat sebagai #1 dalam kategori video dan #2 dalam kategori muzik di YouTube Malaysia. Ia juga berjaya mencapai 200,000 tontonan dalam masa 24 jam dan 500,000 tontonan dalam 4 hari. Sejak ia mula dilancarkan tiga bulan lalu, ‘Damelo’ telah ditonton dan distrim sebanyak 2.4 juta kali di platform YouTube. Ia juga menjadi salah satu lagu tersenarai di dalam Spotify Top 200 dan Apple Music Top 200 dalam 7 hari dari tarikh pelancaran. Pencapaian yang hebat ini secara tidak langsung menjadikan DOLLA salah satu artis berkumpulan yang membawa impak paling besar di Malaysia.

Sabronzo menyatakan, “Bagi kami, ‘New Classic’ benar-benar melambangkan evolusi DOLLA dari segi muzik. Kami tidak sabar untuk mempersembahkan kepada para penyokong DOLLA segala usaha dan kerja keras kami dalam menghasilkan album ini sejak setahun lalu. Setiap anggota DOLLA terlibat penuh dengan proses kreatif album ini dan sudah tentu, ini menjadikan album ini bagaikan ‘our baby’. Sabronzo tidak lupa menyuarakan penghargaan DOLLA kepada semua yang terlibat dalam penghasilan ‘New Classic’.

Katanya, “Kami sangat berbangga diberi peluang untuk berkolaborasi dengan begitu ramai individu yang berpengalaman besar dalam projek album pertama DOLLA ini. Pengalaman ini dan ilmu yang dipelajari pasti tidak akan kami sia-siakan. Kami berharap para peminat DOLLA dan muzik amnya dapat menikmati lagu-lagu yang terkandung di dalam ‘New Classic’ sebagaimana kami amat menyukai album ini”.

Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, berkata, “Saya amat berbangga dengan segala pencapaian DOLLA setakat ini dan di Universal Music Malaysia, kami mempunyai harapan tinggi agar album ‘New Classic’ ini akan membawa mereka ke tahap tertinggi bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa. Mereka telah membuktikan bahawa DOLLA adalah kumpulan yang perlu diambil serius walaupun masih baru di bidang seni. Namun dengan cita-cita dan dan etika kerja yang sangat terpuji, saya percaya lagu-lagu di dalam album ini bakal menjadi karya klasik dan ‘evergreen’ di masa hadapan, dan DOLLA akan menjadi ikon bagi generasi baru”.

‘New Classic’ kini boleh distrim di kesemua platform digital. DOLLA juga telah melancarkan album pertama mereka ini di acara #DOLLAVILLA pada 21 November lalu. Dengan pelbagai aktiviti unik, acara yang julung-julung kali diadakan telah menyaksikan persembahan mantap dari DOLLA buat tetamu-tetamu yang datang dari serata dunia. Di acara #DOLLAVILLA tersebut para tetamu juga diperkenalkan kepada pewangi DOLLA X CERM Classic Perfume edisi terhad dari Huile de Parfum sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada hujung bulan November ini. Ia merupakan item pertama dari senarai produk-produk eksklusif dari DOLLA yang akan dilancarkan kelak. Pewangi ini amat istimewa kerana ia mentafsirkan ritma dari album DOLLA kepada wangian istimewa justeru menghasilkan produk yang unik dan moden, dan tentunya wajib dimiliki oleh peminat wangian terutamanya peminat-peminat DOLLA. Pewangi ini boleh didapati untuk pembelian di cermskin.com/dolla mulai 30 November.