KUALA LUMPUR – Kugiran rock legenda Indonesia, Nidji, telah mencipta sejarah dengan menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil menerusi konsert solo pertama mereka di Malaysia bertajuk “Nidji 2.3: The New Chapter” pada malam 2 Februari lalu.
Konsert yang dianjurkan oleh MND Sport & Events ini berjaya menarik seramai 10,000 penonton, membuktikan populariti Nidji yang masih utuh dalam kalangan peminat muzik di Malaysia. Persembahan penuh bertenaga oleh formasi terkini Nidji, yang terdiri daripada Yusuf Ubay (vokalis/saxophone), Randy Danistha (keyboard/synthesizer), Ramadhista Akbar dan Andi Ariel Harsya (gitar), serta Adri Prakarsa (dram), telah memberikan pengalaman luar biasa kepada para peminat yang hadir.

Kemuncak tenaga sejak awal konsert
Tirai pentas dibuka sekitar 8.45 malam dengan kemunculan penuh bertenaga vokalis Yusuf Ubay yang menghangatkan suasana menerusi rangkaian lagu seperti Ku Takkan Bisa, Bolehlah Ku Berharap, Kau Dan Aku, Wadoow dan Heaven. Aksi energetik Ubay mendapat sorakan gemuruh daripada peminat yang turut sama menyanyikan setiap lirik dengan penuh semangat.
Sorakan penonton semakin lantang apabila Nidji mempersembahkan lagu-lagu yang sinonim dengan mereka, terutamanya runut bunyi filem terkenal seperti Sumpah Dan Cinta Matiku dan Teroesir, yang menjadi latar muzik kepada filem epik Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (2013). Momen ini mengimbau nostalgia perjalanan 23 tahun Nidji dalam industri muzik, memperlihatkan bagaimana kumpulan ini terus relevan dengan pelbagai generasi peminat.

Gabungan Nidji & Masdo cetus kejutan
Salah satu detik istimewa dalam konsert ini adalah kemunculan Masdo, kumpulan pop Malaysia yang turut membuat penampilan istimewa bersama Nidji. Kedua-dua kumpulan ini berkolaborasi membawakan lagu Zayang-Zayang, mencipta gabungan unik antara rock alternatif Nidji dan elemen retro Masdo.

Suasana konsert bertambah meriah dengan sistem bunyi dan pencahayaan bertaraf antarabangsa, menjadikan setiap persembahan lebih dramatik dan mengasyikkan. Yusuf Ubay sendiri mengakui teruja dapat berkongsi pentas dengan Masdo, sekali gus memperkukuhkan hubungan muzik antara Malaysia dan Indonesia.
Ubay tonjol bakat istimewa
Selain memukau dengan vokalnya, Ubay turut mempamerkan bakatnya bermain saxophone dan piano. Beliau menyampaikan lagu Abadi serta sebuah lagu klasik karya seniman agung Tan Sri P. Ramlee, iaitu Getaran Jiwa.

“Lagu ini sangat indah, dan saya menyukainya sejak sebelum saya bergelar penyanyi. Ini adalah penghormatan saya kepada legenda yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia,” ujar Ubay, disambut sorakan peminat yang menghargai penghormatan tersebut.
Tiga jam tanpa henti – lagu ikonik gegarkan arena
Konsert yang berlangsung hampir tiga jam tanpa henti terus mengekalkan momentum dengan rangkaian lagu hits yang dinanti-nantikan oleh peminat. Antaranya Laskar Pelangi, Arti Sahabat dan Biarlah, yang bukan sahaja menjadi siulan peminat sejak era 2000-an, malah turut mendapat sambutan generasi baharu.

Ubay membuktikan dirinya mampu membawa Nidji ke dimensi baharu, tanpa bayangan vokalis asal mereka, Giring Ganesha. Kekuatan muzik dan semangat baru yang dibawakan oleh Ubay menjadikan Nidji terus relevan dalam industri muzik hari ini.
Kemuncak konsert menyaksikan Nidji mempersembahkan lagu Hapus Aku, salah satu karya paling ikonik mereka dari album Breakthru’ (2006). Saat lagu ini dimainkan, seluruh Axiata Arena bergema dengan nyanyian ribuan peminat yang larut dalam euforia muzik Nidji.
Nidji bakal beraksi di Kuching April ini
Bagi peminat yang terlepas peluang menyaksikan konsert ini, Nidji bakal mengadakan konsert Nidji Pelangi di Kuching, Sarawak pada 26 April 2025, bertempat di Stadium Perpaduan Petra Jaya.
Dengan kejayaan konsert di Kuala Lumpur ini, pastinya peminat di Kuching juga bakal menikmati pengalaman yang sama luar biasa.