
Penyanyi, Datuk Nora Ariffin yang sebelum ini dimasukkan ke wad akibat sesak nafas kembali pulih selepas ‘bertarung nyawa’ selama 11 hari susulan dia menerima rawatan di sebuah hospital selepas disyaki demam panas.
“Asalnya hanyalah demam kemudian pergi buat pemeriksaan di klinik dan disyaki denggi. Jadi bila denggi, kena pergi hospital pula untuk buat pemeriksaan sekali lagi. Lepas tu bila check hari ketiga rupanya bukan denggi, tapi saya masih lagi demam.
“Kemungkinan ada infection jadi bila di hospital kena drip dan pada masa itu mungkin ada teknikal. Ternyata badan saya over drip (air terlebih). Benda tu buatkan air dalam badan saya berlebihan dan menyebabkan paru-paru saya penuh air. Saya tak boleh bernafas secara tiba-tiba.” Katanya ketika ditemui pada sidang media Pelancaran Pes Kerutuk dan Pes Serbaguna Secukup Rasa by Nora.

Susulan daripada itu, Nora telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk prosedur mengeluarkan air dari paru-paru.
“Air terlebih jadi menyebabkan paru-paru saya tu penuh dengan air. Macam kita lemas atau jadi kita tak boleh bernafas. Itu menyebabkan saya tak boleh bernafas.
“Mata dah nampak putih. Semua dah tak nampak apa. Saya mintak maaf dan Suami saya redha saja. Kemudian terus masuk ICU dan keluarkan semua air.
“Apa yang doktor katakan, saya kena small heart attack tapi bukan disebabkan jantung saya bermasalah tapi kerana overdrip. Mungkin ada kesilapan daripada pihak hospital kerana doktor pun manusia. Bila pindah ke hospital lain, saya dijaga oleh tiga pakar.” Ujarnya menceritakan detik cemas yang dihadapinya.
Nora juga tidak mahu mengambil tindakan terhadap hospital tersebut kerana baginya semuanya sudah selesai dan yang penting adalah kesihatannya kembali pulih.
“Saya pun tak nak memanjangkan perkara ini tetapi apa yang saya belajar dari kejadian ini, kita lebih beringatlah pergi ke tempat yang betul dan apa yang boleh dan tak boleh dilakukan,” katanya lagi.

Terdahulu, penyanyi popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema ini menambahkan lagi rangkaian produk makanan di bawah jenama Secukup Rasa By Nora, telah mengambil inisiatif untuk mengeluarkan pes masakan menggunakan resepi turun-temurun keluarganya.
Pes masakan Secukup Rasa By Nora keluaran syarikat SECUKUP RASA EMPIRE yang menggunakan tagline ‘Rasa Sekali Rasa Nak Lagi’ itu menawarkan dua jenis resepi masakan iaitu Pes Kerutuk dan Pes Serbaguna yang cukup mudah sekali digunakan oleh golongan berkeluarga mahu pun bujang.
Menggunakan rempah ratus dan bahan-bahan yang segar, proses penghasilkan pes masakan ini dilakukan dengan penuh hati-hati agar kualitinya terjaga dan rasanya juga memuaskan hati pelanggan yang membeli.

Bahkan, Nora sendiri turut terlibat di dalam proses penghasilkan pes masakan ini dari awal hingga akhir termasuk merancang rekaan logo, ‘look and feel’ serta strategi promosi dan pemasarannya.
“Idea menghasilkan pes masakan ini muncul sebelum saya menyambut hari ulang tahun kelahiran saya yang ke-50 pada Julai lalu.
“Saya terfikir sampai bila saya nak menyanyi? Saya juga beritahu pada diri sendiri, pada usia 50 tahun, saya perlu berbuat sesuatu.
“Kebetulan Allah SWT sudah aturkan saya pulang ke Kelantan dan bertemu dengan sepupu saya. Kedua-dua belah keluarga saya memang mempunyai latar-belakang dalam bidang katering secara besar-besaran.
“Selepas berbincang, mereka juga mahu meluaskan lagi bisnes mereka dan akhirnya kita bekerjasama mengeluarkan produk pes masakan di bawah jenama Secukup Rasa By Nora melalui sebuah lagi syarikat yang saya usahakan iaitu SECUKUP RASA EMPIRE,” katanya.