March 2, 2024

KUALA LUMPUR – Seorang artis yang sedang berkembang dalam industri muzik Malaysia, Arish Mikael kini bersedia untuk mengejutkan pasaran muzik dengan lagu terbarunya, di bawah naungan Luncai Emas, yang diberi judul Nukilanmu. Dikenali dengan bakat nyanyian dan suaranya yang lunak, merdu dan luar biasa, Arish Mikael meneroka perasaan dan pengalaman manusia melalui lirik yang puitis dan melodi yang menawan.

Arish Mikael, yang berasal dari Muar, Johor, telah menapak dalam dunia muzik sejak usia remajanya. Pada tahun 2018, semasa masih berada di tingkatan 3, beliau memulakan perjalanan muziknya dengan busking di pelbagai tempat. Walaupun ketika itu beliau belum mengambil muzik secara serius, Arish Mikael mulai menulis lagu-lagu yang penuh makna dan emosi.

Pada saat yang sama, nasib baik melanda diri Arish. Ketika beliau sering dibandingkan dengan Allahyarham Sudirman Hj. Arshad dIsebabkan suara beliau yang sangat mirip dengan penyanyi lagenda tersebut, Arish diberikan peluang emas untuk mengunjungi Luncai Emas dan bertemu dengan Dato’ M.Nasir dan pelbagai pengeluar muzik yang terkenal. Perbualan santai mereka membawa kepada satu peluang luar biasa yang akan mengubah hidupnya.

Antara lagu terawal yang beliau cipta, Nukilanmu merupakan karya yang sangat penting dalam perkembangan muzik Arish Mikael. Beliau berkongsi, “Lagu ini menceritakan tentang sesiapa saja dalam hidup yang mencetuskan inspirasi kepada diri.”

“Radzlan selaku penulis lirik lagu ini, terlibat dengan hampir kesemua lagu yang saya cipta buat masa ini. Lagu ini terlahir semasa saya berada dalam tempoh dipengaruhi karya-karya Melayu seperti SM Salim, Ahmad Jais, M. Nasir, Loloq dan sebagainya, walaupun sebelum itu saya telah terdedah dengan muzik-muzik barat.” kongsi Arish pula tentang maksud dan inspirasi di sebalik lagu ini.

Mengenai proses rakaman Nukilanmu Arish Mikael berkongsi, “Satu pengalaman yang baru dalam produksi muzik kerana dapat bekerja atau rakam dalam studio yang lengkap bersama pemuzik yang lebih ramai. Semestinya ada rasa kekok, sebab sebelum itu saya sudah terbiasa merakam demo sendiri dalam bilik tidur tanpa melibatkan telinga, citarasa, idea atau sudut pandangan orang lain. Jadi ini satu proses yang sangat baik. Tambah pula dengan kehadiran pemuzik yang berbakat seperti Hidayat daripada kumpulan Pitahati, dan Izzat daripada kumpulan Ramayan. Tanpa mereka, projek ini tak akan berseri.”

Namun, pencapaian terbesar dalam kariernya adalah peluang unik yang diberikan kepadanya untuk tampil di Dewan Filharmonik Petronas KLCC untuk mendendangkan lagu-lagu Allahyarham Sudirman sebagai penghormatan atau ‘tribute’ kepada penyanyi tersebut. “Diberi peluang dan kepercayaan untuk membuat persembahan bersama salah satu orkestra terbaik di Malaysia, adalah sesuatu yang luar biasa. Saya rasa bersyukur dapat bekerjasama dengan barisan penyanyi dan pemuzik yang handal walaupun di fasa awal kerjaya saya ini. Rasa teruja dan gementar, tetapi dengan penerimaan yang baik dari masyarakat, itu adalah penghargaan yang besar buat saya.” luah beliau.

Menurut Ilham, selaku penyanyi kumpulan Pitahati dan A&R Luncai Emas – “Nukilanmu adalah nukilan yang bakal mewarnai skena nostalgia.”

Arish Mikael berharap bahawa pelancaran lagu Nukilanmu ini akan menjadi batu loncatan untuk perekmbangan kerjayanya dalam dunia muzik. Dia mengajak semua peminat muzik untuk terus menyokong karya-karya muzik tempatan yang penuh bakat dan potensi. “Semoga ianya menjadi langkah pertama yang memperkukuhkan perjalanan saya dalam dunia muzik. Teruskan menyokong muzik-muzik tempatan.”

Nukilanmu kini tersedia untuk dimuat turun dan diputar di pelbagai platform muzik. Jangan lepaskan peluang untuk mendengar puisi yang mendalam ini, yang dipersembahkan oleh Arish Mikael dalam gaya folk pop nostalgia yang memukau.